SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor sedang meneliti aduan dan mencari penyelesaian berkenaan dakwaan Pusat Jagaan Al Fikrah Malaysia yang menceroboh Tanah Perkuburan Islam Sungai Sekamat, Kajang.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, pihaknya masih meneliti aduan berkenaan isu tersebut serta status tanah di situ.
Menurutnya, pihak pusat jagaan terbabit telah berjumpa dengan beliau untuk berbincang bagi menyelesaikan isu tersebut.
"Berkenaan dengan kes Pusat Jagaan Al Fikrah, saya sedang meneliti aduan tersebut dan status tanah itu.
"Pihak berkenaan sudah berjumpa dengan saya tapi kita masih dalam semakan dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk mencari penyelesaian dan status tanah tersebut,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan mengenai Pusat Jagaan Al Fikrah Malaysia yang mengharapkan pertimbangan JAIS untuk memberi kebenaran meneruskan aktiviti tanaman dan ternakan di atas Tanah Perkuburan Islam Sungai Sekamat itu.
Pengerusi pusat jagaan berkenaan, Mohd Azmi Md Zain berkata, pihaknya sebelum ini sudah beberapa kali membuat permohonan kepada JAIS berhubung perkara tersebut, namun tidak mendapat maklum balas yang memberangsangkan.
Menerusi mesyuarat pada Julai tahun lalu, katanya, JAIS memberi kebenaran kepada pengurusan pusat kebajikan berkenaan beroperasi untuk tempoh tiga tahun lagi dengan guna tanah maksimum sebanyak 0.4 hektar.
Sementara itu, Mohd Zawawi memaklumkan kerajaan negeri Selangor tidak mempunyai rancangan untuk membina kubur bertingkat sebagai tambahan tanah perkuburan yang dikatakan penuh di negeri ini.
Beliau berkata, tanah di Selangor masih mencukupi untuk dijadikan tanah perkuburan.
Menurutnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) kebiasaannya sudah menjangkakan keperluan tanah perkuburan ini untuk 10 hingga 20 tahun akan datang.
"PBT biasanya akan mengambil tanah yang diwartakan oleh kerajaan manakala pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menerima tanah yang diwakafkan oleh masyarakat tempatan khusus untuk dijadikan tanah perkuburan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Zawawi menjelaskan, pihaknya masih belum menerima sebarang aduan berkenaan tanah perkuburan yang didakwa sudah penuh atau berada dalam tahap kritikal.
Bagaimanapun, pihaknya akan membuat semakan lanjut dengan pihak JAIS yang menguruskan tanah untuk melihat tahap kapasiti tanah perkuburan tersebut.
Klik di sini untuk terus membaca