SUDAH menjadi lumrah dunia akhir zaman apabila masyarakat gemar memaparkan kehidupan peribadi mereka kepada umum menggunakan aplikasi media sosial menerusi teknologi dan gajet yang sedia ada. Istilah ‘kehidupan peribadi’ itu sendiri... Klik di sini untuk terus membaca

SUDAH menjadi lumrah dunia akhir zaman apabila masyarakat gemar memaparkan kehidupan peribadi mereka kepada umum menggunakan aplikasi media sosial menerusi teknologi dan gajet yang sedia ada.

Istilah ‘kehidupan peribadi’ itu sendiri sudah tidak bermakna dan hilang nilainya − ditenggelami oleh arus perkembangan sosial pada masa kini.

Pada masa yang sama, masyarakat menganggap perubahan trend itu berpunca daripada kemajuan teknologi dalam aspek komunikasi dan hiburan.

Malah masyarakat menuding jari, menyalahkan perubahan dunia yang bergerak seiring dengan masa lebih senang, walhal punca sebenarnya masalah itu berpunca daripada individu itu sendiri.

Persepsi dan mentaliti orang ramai khususnya golongan muda beranggapan bahawa kehidupan mereka wajar dikongsi terutamanya jika ia melibatkan kekayaan, kejayaan dan pencapaian adalah satu perkara.

Namun begitu, ramai yang tidak sedar akan risiko di sebalik perkongsian peribadi melalui media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan lain-lain.

Risiko yang dimaksudkan adalah ancaman siber yang kian meningkat bukan sahaja menyebabkan akaun media sosial digodam, malah data peribadi akan dicuri.

Dalam satu laporan pada 13 Disember tahun lepas mendedahkan wujudnya pihak tertentu yang aktif mencuri data peribadi daripada akaun media sosial orang ramai untuk mengaut keuntungan.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, kegiatan berkenaan akan menyebabkan kerugian besar kepada mangsa apabila nombor PIN akaun, nombor kad kredit atau debit boleh dicuri oleh penjenayah berkenaan.

Menurutnya, data yang dicuri akan dihantar kepada pemilik Spyware berkenaan untuk digunakan secara terus atau dijual kepada pihak luar.

"Sasaran maklumat yang menjadi sasaran Spyware termasuk log masuk perbankan atau sebarang aplikasi dan laman sesawang kewangan serta laman sosial pengguna.

"Sebab itu banyak kes kehilangan wang di dalam akaun atau akaun media sosial kita digodam, kerana kata laluan keselamatan sudah diketahui pihak lain,” kata Siraj.

Siraj menjelaskan Spyware mempunyai empat kategori utama termasuk trojan yang menghantar program Spyware ke dalam peranti melalui perisian hasad (malware) tertentu.

Lebih menakutkan lagi apabila sasaran pihak penggodam tersebut bukan saja meliputi akaun individu tetapi juga mencakupi akaun milik organisasi, persatuan, atau badan kerajaan.

Laporan Sinar Harian pada 12 Januari 2021 menyatakan bahawa akaun rasmi Twitter Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, perkara berkenaan menjadi kecoh selepas warganet menangkap layar ciapan yang menunjukkan hantaran mesej yang mencurigakan, jelik dan bersifat fitnah dipercayai dibuat oleh akaun tersebut antara tahun 2013 sehingga 2014.

Susulan itu, SKMM memaklumkan menerusi kenyataan bahawa akaun rasmi suruhanjaya berkenaan telah digantung buat sementara waktu.

Kesedaran

Kes tersebut wajar dijadikan contoh supaya orang ramai tidak lalai dan leka dengan ketagihan bermain media sosial ini kerana jika akaun rasmi kerajaan pun dapat digodam, apatah lagi rakyat biasa seperti kita.

Jika hendak dikira, amat banyak sebenarnya kes-kes yang melibatkan kegiatan penggodam yang dilaporkan dalam akhbar tempatan dan agensi-agensi berita yang lain.

Dek kerana kurangnya kesedaran masyarakat dan keprihatinan terhadap isu ini menyebabkan mereka terdedah kepada ancaman siber tersebut. Jenayah siber perlu dipandang serius kerana ia memberi impak negatif kepada orang ramai khususnya kepada pengguna media sosial.

Penulis berharap pengguna media sosial sentiasa berhati-hati dan jangan terlalu percaya dengan keselamatan teknologi sehingga berkongsi semua perkara kepada umum.

*Mukhriz Mat Hasin ialah Wartawan Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca