TANGGAL 13 Februari yang diisytiharkan sebagai Hari Radio Sedunia merupakan pengiktirafan terhadap mereka yang masih dan pernah terlibat dunia penyiaran radio.
Malaysia juga mempunyai sejarah tersendiri dalam dunia penyiaran radio dan sambutan Hari Radio Sedunia ini pastinya memberikan makna tersendiri khususnya buat mereka terlibat.
Sambutan Hari Radio Sedunia berusia sekitar 10 tahun sejak mula diisytiharkan, namun bidang penyiaran radio merupakan perintis kepada bidang penyiaran secara amnya bermula dengan kewujudan Radio Malaya.
Pada satu ketika apabila wujudnya televisyen tambah dengan kewujudan televisyen berwarna, ada beranggapan bahawa radio tidak lagi relevan namun radio masih lagi bertahan malahan terdapat satu lagu bertajuk Video Killed The Radio Star pada 80-an merujuk kepada pita video namun hari ini pita video pula tidak lagi wujud.
Setiap medium penyiaran mempunyai keistimewaan dan kekuatan tersendiri, begitu juga dengan radio.
Mungkin kelemahan utama radio ialah siaran mereka bukannya dalam bentuk visual berbanding televisyen yang berbentuk audio dan visual.
Jika sedikit masa dahulu radio menjadi antara peralatan elektrik yang wajib ada di setiap rumah, mungkin kini ia sedikit berubah. Kalau ada sekalipun pemilik peralatan radio tersebut hanya menjadikannya sebagai hiasan di rumah masing-masing sedangkan sebelum ini, radio menjadi peneman setia hampir setiap waktu.
Ada yang bekerja sambil memutar stesen radio pilihan, ada yang mendengar radio sambil belajar dan tidak kurang juga yang melekat di depan radio seolah-olah penyampai radio berada di depan diri masing-masing hingga timbul pula lagu kumpulan Headwind, Hanya di Radio.
Kini kebanyakan pendengar radio mendengar radio sambil memandu sama ada ke tempat kerja atau ketika menuju mana-mana destinasi.
Bertugas dalam bidang penyiaran radio juga bukan tugas mudah walaupun bagi pendengar mereka hanya mengetahui peranan dimainkan penyampai radio. Ada juga berperanan di sebalik tabir khususnya penerbit dan penerbit teknikal.
Mereka yang berada di sebalik tabir ini juga memainkan peranan penting dalam memastikan penerbitan siaran radio dapat dijalankan dengan lancar walaupun pada akhirnya, kebanyakan pendengar lebih mengenali penyampai radio atau DJ.
Ada sesetengah stesen radio cenderung menggunakan khidmat artis popular atau yang pernah menyertai pertandingan program realiti, tetapi walau siapapun mereka, duduk di depan mikrofon berjam-jam lamanya bukan satu tugas mudah.
Ada kurang bersetuju serta membandingkan kualiti sebenar yang harus dimiliki seseorang penyampai itu, namun strategi meletakkan mereka sebagai penyampai atas nama pemasaran sedikit sebanyak berkesan.
Saya sendiri pernah mengetuai sebuah stesen radio universiti iaitu UFM yang dikendalikan oleh Universiti Teknologi Mara, UiTM.
Apa yang boleh saya katakan walaupun kebanyakan pelatih yang pernah berada dalam UFM merupakan mereka yang terdiri daripada generasi Y, namun saya boleh lihat masih ramai minat dengan penyiaran radio.
Terlibat dalam penyiaran mungkin tidak sepopular mereka yang terlibat dengan penyiaran televisyen tetapi hanya mereka yang benar-benar minat amat mengerti betapa seronok dan nikmatnya berada dalam konti radio.
Justeru, sekalipun perkembangan teknologi dan eksploitasi media sosial makin meluas, penyiaran radio tetap relevan sebagai penghubung dan wadah rakyat namun setiap stesen radio perlu sentiasa menghasilkan pengisian segar supaya persoalan mengenai sama ada radio masih relevan atau tidak mungkin tidak lagi timbul pada masa depan.
Mungkin kelemahan utama radio ialah siaran mereka bukannya dalam bentuk visual berbanding televisyen yang berbentuk audio dan visual.
* Penulis merupakan bekas wartawan penyiaran, pensyarah kanan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM serta Setiausaha Persatuan Pengajar Kewartawanan Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca