SHAH ALAM - Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 dan proses pemilihan parti itu adalah penentu sama ada pembentukan koalisi perdana parti-parti Melayu melibatkan UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dapat direalisasikan atau tidak.
Penganalisis politik veteran, Profesor Dr Ahmad Atory Hussein berkata, hal ini kerana kedua-dua program perhimpunan terbesar UMNO itu dijangka diadakan sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurutnya, sebarang ketetapan dan pendirian dikemukakan menerusi persidangan terbesar UMNO itu bakal menjadi hala tuju muktamad parti tersebut memandangkan ia mewakili suara lebih 3 juta ahli UMNO.
"Dalam konteks kerjasama UMNO-Bersatu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sukar untuk mempengaruhi 3 juta akar umbi dan ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti untuk menolak kerjasama dengan parti diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Ini bukan zaman (bekas Perdana Menteri ketiga) Tun Hussein Onn yang mampu mempengaruhi MKT UMNO untuk menamatkan kerjasama dengan Pas kerana negara terdedah dengan kuasa media sosial yang tidak boleh dikawal.
"Saya yakin PAU 2020 dan proses pemilihan UMNO yang akan diadakan sebelum PRU15 bakal menjadi penentu hala tuju kerjasama Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN),” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan ramalan dibuat institusi kajian politik, O2 Research Malaysia bahawa gabungan PN, BN, Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Bersatu Sabah (GBS) mampu memenangi sekurang-kurangnya 136 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan lebih kukuh.Sementara itu, Ahmad Atory secara peribadi mengakui kepentingan UMNO bekerjasama dengan Bersatu bagi merealisasikan agenda penyatuan Melayu dan Islam menjelang PRU15.
Jelas beliau, selepas PRU14, UMNO sudah kehilangan hegemoni politik Melayu yang kini sudah terbahagi kepada tiga parti utama Melayu.
Klik di sini untuk terus membaca