TANDA tanya berhubung status baki aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 yang turut melibatkan Malaysia akhirnya terjawab apabila Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan ia akan ditunda pada Jun depan.
Menurut Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John, kesemua pasukan telah memberikan kata putus menerusi satu mesyuarat yang diadakan secara atas talian pada Rabu.
"Kesemua pasukan bermesyuarat pada hari ini (Rabu) dan memutuskan bersetuju untuk menunda perlawanan yang sepatutnya berlangsung pada Mac ke Jun depan disebabkan pandemik Covid-19 yang masih melanda ketika ini.
"Saingan kelayakan akan berlangsung secara karnival di salah satu negara pasukan Kumpulan G yang bersetuju untuk menjadi tuan rumah dan perlu memenuhi beberapa kriteria yang ditetapkan.
"Perlawanan peringkat kumpulan perlu dihabiskan mengikut kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebelum Jun nanti dan ia tidak boleh ditunda lagi,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa tiga negara dalam Kumpulan G - Malaysia, Thailand dan Indonesia menyatakan persetujuan aksi kelayakan itu ditangguhkan dan dijalankan secara karnival di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun depan.
Namun, Vietnam selaku pendahulu Kumpulan G masih belum memberikan sebarang kata putus berhubung perkara berkenaan sehingga tarikh akhir ditetapkan pada Isnin lalu.
Dalam pada itu, Windsor Paul berkata, pihaknya akan mengeluarkan surat pemakluman kepada kelima-lima negara dalam Kumpulan G untuk membuat permohonan untuk menjadi tuan rumah.
"Kami baru buat keputusan tentang penangguhan aksi kelayakan ini. Mungkin dalam sehari dua lagi kami akan hantar surat kepada semua persatuan bola sepak negara yang terlibat.
"Semua negara boleh memohon (menjadi tuan rumah) tetapi AFC akan membuat penilaian venue berlangsungnya perlawanan kelayakan itu nanti. Ia perlu mengikut kriteria ketat yang ditetapkan FIFA,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca