SKUAD Harimau Malaya tetap bersedia mengharungi baki tiga perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 biarpun terpaksa mengharungi saingan di gelanggang lawan pada Jun depan.
Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, skuad kendaliannya harus bersedia dengan sebarang kemungkinan apabila Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) membuat keputusan venue aksi kelayakan itu.
"Sebenarkan kami tidak kisah beraksi di mana. Cuma saya harap para pemain tidak hilang fokus kerana pilihan terbaik adalah untuk meneruskan aksi kelayakan ini walaupun di luar (gelanggang lawan).
"Sebelum ini memang kami berharap aksi kelayakan diadakan di sini (Malaysia), tetapi ternyata ia memang sukar. Jadi tak kisahlah beraksi di mana, yang penting kami bersedia dengan persiapan terbaik,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Pada masa sama, Cheng Hoe mengakui lega apabila AFC membuat keputusan untuk menunda baki kempen kelayakan tersebut pada Jun depan.
"Sudah tentu kami gembira dengan keputusan AFC. Jika aksi kelayakan itu tetap berlangsung bulan depan, kami berdepan masalah kerana belum membuat sebarang persiapan.
"Ikut perancangan kem latihan akan diadakan Mac nanti kerana itu adalah kalendar FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa). Liga Malaysia (Liga-M) juga berhenti seketika, jadi pada masa itu kita akan buat latihan pasukan kebangsaan,” jelasnya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam mengesahkan badan induk itu tidak menghantar permohonan untuk menjadi tuan rumah kempen kelayakan itu yang bakal berlangsung secara karnival.
"Kami tidak akan memohon untuk menjadi tuan rumah peringkat kumpulan. Ini disebabkan kami tidak dapat memberikan jaminan sebagaimana yang diperlukan selaku tuan rumah aksi kelayakan tersebut.
"Kami boleh beraksi di mana-mana venue yang diputuskan Konfederasi Bola Sepak Asia. Kami akan buat persediaan sewajarnya,” ujarnya menerusi kiriman WhatsApp.
Pada Rabu, AFC mengesahkan saingan Kumpulan G yang melibatkan Malaysia, Vietnam, Thailand, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang dijadualkan berlangsung pada Mac ditunda ke Jun.
Pada masa sama, Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John memaklumkan surat tawaran akan dikeluarkan kepada kelima-kelima negara berkenaan untuk membuat permohonan menjadi tuan rumah bagi aksi kelayakan berkenaan.
Selepas mengharungi lima perlawanan, Malaysia kini berada di tangga kedua Kumpulan G apabila merekodkan sembilan mata hasil tiga kemenangan dan tewas dua kali.
Mengikut jadual asal, Malaysia dijadualkan menentang UAE pada 25 Mac di gelanggang lawan, Vietnam (30 Mac) di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebelum bertemu Thailand dalam aksi terakhir Kumpulan G di Bangkok (15 Jun).
Klik di sini untuk terus membaca