PARIS - Pentadbiran Presiden Perancis, Emmanuel Macron pada Selasa didakwa memperoleh kemenangan apabila rang undang-undang bagi memerangi gerakan radikal Islam yang kontroversi berjaya diluluskan di Dewan Perhimpunan Kebangsaan negara tersebut.
Seramai 347 wakil rakyat menyokong dan 151 lagi menentang manakala 65 anggota dewan tersebut bersikap berkecuali dalam undian berhubung rang undang-undang tersebut yang memberikan kuasa kepada kerajaan untuk mengehadkan ucapan kebencian dalam kalangan penganut Islam.
Selepas diluluskan di dalam dewan tersebut, ia kemudian akan diteliti oleh Dewan Senat untuk mendapatkan kelulusan terakhir yang mana parti diasaskan oleh Macron iaitu La Republique En Marche! tidak mempunyai majoriti di dalam dewan tersebut.
Dewan Senat mempunyai kuasa untuk memindanya tetapi ia dijangka tidak mempunyai masalah untuk diluluskan yang mana pihak pembangkang berhaluan kanan iaitu parti Les Republicains yang mempunyai majoriti.
Penduduk Islam Perancis berjumlah kira-kira lima juta penduduk yang kebanyakannya berasal dari Algeria dan negara-negara bekas jajahannya.
Namun, sebelum diluluskan di Dewan Perhimpunan Kebangsaan itu, rang undang-undang itu mencetuskan kontroversi dalam kalangan penduduk Islam kerana ia menyekat kebebasan umat Islam dan pemakaian hijab walaupun ia bertujuan mengekang gerakan radikal Islam di Perancis.
Rang undang-undang itu diperkenalkan oleh kerajaan Perancis selepas kejadian kepala seorang guru Sejarah, Samuel Panty dipenggal oleh seorang remaja Chechen berusia 18 tahun di pinggir Paris pada Oktober tahun lalu sehingga mengejutkan penduduk di negara tersebut.
Panty dipenggal kepala selepas dia menunjukkan kartun-kartun yang merujuk sebagai Nabi Muhammad SAW semasa mengajar subjek tentang kebebasan bersuara kepada para pelajar di dalam kelasnya.
Namun, guru berusia 47 tahun itu meminta para pelajarnya yang beragama Islam supaya keluar dari kelas supaya mereka tidak tersinggung dengan bahan pengajarannya itu.
Menerusi rang undang-undang itu juga, seseorang individu didakwa apabila dia menyebarkan kenyataan berbaur kebencian yang boleh merosakkan perpaduan Perancis dan jika didapati bersalah boleh dihukum penjara tiga tahun dan denda sebanyak 45,000 euro (RM54,292.50).
Menerusi rang undang-undang kontroversi itu juga, ia juga mahu membendung poligami dan perkahwinan secara paksa dalam kalangan penduduk Islam dan melarang doktor-doktor supaya tidak mengeluarkan sijil dara ke atas gadis Islam.
Doktor akan dikenakan denda sebanyak 15,000 euro (RM18,097.50) dan berdepan dengan penjara sehingga setahun jika didapati mengeluarkan sijil pengesahan dara untuk para gadis beragama Islam.
Rang undang-undang itu yang berjudul 'Sokongan Terhadap Penghormatan Prinsip Republik' menyentuh pelbagai aspek kehidupan rakyat Perancis tetapi ia ditentang oleh kebanyakan penduduk Islam di negara itu dan wakil-wakil rakyat.
Islam merupakan agama kedua terbesar di negara yang mempunyai lebih 60 juta penduduk itu manakala penduduk Muslimnya adalah yang teramai di Eropah.
Menurut portal berita Republic.com. rang undang-undang itu juga melarang pekerja-pekerja kerajaan memakai hijab di pejabat awam manakala hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda sebanyak 75,000 (RM90,503.25) akan dikenakan terhadap mana-mana individu Islam yang mengancam para pegawai kerajaan.
Rang undang-undang itu juga membenarkan pihak berkuasa menutup rumah ibadat untuk penduduk Islam yang didapati menyebarkan kebencian terhadap individu dan kepercayaan lain dan mengawal sumber dana dari negara luar ke atas institusi agama tersebut di Perancis.
Ia juga diluluskan oleh Dewan Perhimpunan Kebangsaan selepas seorang guru sekolah di pinggir Paris mendapat perhatian di negara itu setelah mendakwa beliau memerlukan perlindungan polis setelah mendapat ancaman bunuh kerana mengkritik penduduk Islam tempatan.
Menurut AFP, berikutan timbulnya kebimbangan tentang pembiayaan dana pembinaan masjid dari Turki, Qatar dan Arab Saudi, kumpulan-kumpulan agama dikehendaki mengisytiharkan sumbangan daripada pihak asing dan akaun kewangan pula perlu mendapat pengesahan.
Hampir 200 orang menunjuk perasaan di Paris pada Ahad lalu telah berhimpin bagi menentang rang undang-undang tersebut kerana menganggap ia mendiskriminasikan penduduk beragama Islam di negara itu.
Pada Januari lalu, sekumpulan ahli akademik menulis artikel dalam akhbar Liberation di negara berkenaan dengan mendakwa rang undang-undang tersebut merupakan satu tamparan ke atas kebebasan beragama.
Namun, menurut AFP, beberapa pengkritik berkata, Presiden Perancis dipercayai mahu memperkukuhkan lagi rekodnya dalam memerangi pergerakan radikal Islam sebelum pilihan raya Presiden bermula pada tahun depan. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca