BESUT - Bacaan Yasin dan solat hajat setiap malam menjadi amalan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tinggal di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nering, Jerteh di sini.
Nur Shabrina Ain Samsuri, 18, berkata, selain amalan mengukuhkan rohani, dia dan rakan-rakan yang lain turut mengikuti sesi ulang kaji dua kali sehari sebagai pecutan akhir sebelum menduduki peperiksaan pada Isnin depan.
Katanya, dia akan mengikuti dua sesi untuk waktu belajar dan mengulangkaji iaitu bermula jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dan jam 8 hingga 10.30 malam.
"Kami tinggal bersama enam orang di dalam satu bilik. Setiap hari dan setiap malam kami akan buat solat hajat dan baca Yasin,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Katanya, dia lebih selesa tinggal di asrama kerana lebih mudah untuk mengulangkaji pelajaran.
"Apabila tinggal di asrama, saya rasa lebih terjamin sebab ada guru dan rakan-rakan yang saling memberi dorongan.
"Walaupun agak kekok sebab kami di asrama perlu sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal dan tidak begitu kerap bertemu guru, hanya melalui kelas maya dan berhubung melalui aplikasi WhatsApp, namun saya ambil itu semua sebagai cabaran dan pembakar semangat,” katanya.
Dalam pada itu, anak bongsu daripada enam beradik itu berkata, dia sering membuat panggilan video sekiranya ingin berhubung dengan ibunya, Mariam Mustafa, 53, dan bapanya, Samsuri Muda, 51.
"Hampir saban hari saya akan menelefon mereka. Selain mengubat kerinduan, merekalah pembakar semangat saya supaya terus kekal positif untuk menduduki peperiksaan dalam situasi mencabar ini,” katanya.
Aktiviti persekolahan yang bermula 20 Januari berakhir pada 9 Februari yang lalu, bagi memberi ruang kepada pelajar untuk membuat persediaan kendiri sebelum peperiksaan bermula.
Ini menjadikan calon SPM tahun 2020 hanya menghadiri persekolahan secara bersemuka selama hampir tiga minggu, sebelum melakukan persediaan kendiri untuk dua minggu dan kemudian akan menghadapi peperiksaan.
Sementara itu, belajar secara berkumpulan turut menjadi pilihan di kalangan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjelang peperiksaan tersebut.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di sini, Ahmad Irfan Ahmad Nizam berkata, biarpun tinggal di kawasan bandar, masalah talian telekomunikasi turut dihadapi.
Menurutnya, belajar bersama tiga lagi rakan lain membantu mengatasi masalah yang dihadapi dengan belajar di rumah rakan yang lain.
"Gangguan talian ini sering saya hadapi apabila berada di rumah. Jadi, saya akan ke rumah rakan-rakan yang mempunyai liputan talian yang lebih baik jika ada kelas menggunakan aplikasi Google Meet atau Zoom.
"Jika saya terlepas apa-apa, saya mudah bertanya dengan rakan,” katanya.
Menurut Ahmad Irfan, belajar dalam tempoh norma baharu memang sesuatu yang amat mencabar namun menyeronokkan dapat mengikuti kelas dengan kaedah kreatif.
Seorang lagi pelajar SMK Jati, Zairul Haikal Abdullah berkata, ibu bapa sangat membantu dalam memotivasikan pelajar terutama dalam tempoh semangat belajar mereka berkurangan.
Menurutnya, calon-calon SPM boleh menggunakan pelbagai platform media sosial sama ada Twitter, Instagram mahupun TikTok untuk membantu mereka meningkatkan motivasi.
Katanya, terdapat ramai pakar motivasi yang berkongsi petua peperiksaan menerusi aplikasi tersebut.
Klik di sini untuk terus membaca