KENDERAAN robotik Perseverance milik Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) yang selamat mendarat di Marikh pada Khamis lalu menjadikan tiga buah negara memulakan kajian saintifik di planet tersebut secara serentak pada bulan ini. Sebelum ini, sebuah kapal angkasa Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang turut berfungsi sebagai satelit dengan misi mengkaji atmosfera dan cuaca telah tiba serta mengelilingi planet tersebut pada 9 Februari lalu.
Penghantaran kapal angkasa UAE itu yang diberi nama Hope seberat 1.3 tan itu dan dikatakan melibatkan kos sehingga AS$200 juta (RM807.8 juta) dijangka mengelilingi orbit planet berkenaan selama setahun di Marikh atau bersamaan 687 hari di bumi.
Menurut agensi angkasa lepas di Dubai baru-baru ini, ia menghantar gambar sebuah gunung berapi paling tinggi di planet tersebut dan dalam sistem suria yang setinggi 21,1945.6 meter iaitu Olympus Mons.
Imej itu dirakamkan pada ketinggian 24,700 kilometer dari permukaan planet tersebut pada 10 Februari lalu setelah kapal angkasa tersebut dilancarkan menerusi roket H-2A dari Pusat Angkasa Tanegashima di Jepun pada 19 Julai 2020.
Sementara itu, sebuah kapal angkasa China, Tianwen-1 mula mengelilingi Marikh pada 17 Februari lalu dan akan mengorbit planet tersebut selama tiga bulan sebelum melakukan pendaratan bersama sebuah kenderaan robotik pada bulan Mei dan Jun depan.
Seberat lima tan, ia yang mengembara hampir separuh bilion kilometer dari bumi dilancarkan dari Pusat Angkasa Wenchang, Hainan di China pada 23 Julai 2020. Kos bagi menghantar misi ke Marikh itu tidak didedahkan oleh Beijing, namun misi Tianwei-1 yang bermaksud ‘Persoalan ke Syurga’ itu seperti dilaporkan portal berita Tech 2 adalah untuk mengkaji permukaan daratan dan atmosfera planet tersebut selama 90 hari.
Misi itu juga akan merakamkan dan menghantar gambar, mengesan tanda-tanda kehidupan purba dan menghasilkan peta di planet tersebut.
Menurut portal berita Indian Express, ketika ini NASA mempunyai sebuah kapal angkasa penjelajahan yang kecil iaitu Mars Insight dan sebuah kenderaan penerokaan Curiosity di permukaan planet tersebut selain tiga kapal angkasa mengelilingi Marikh.
India juga dilaporkan memiliki sebuah kapal angkasa pengorbitan, Mangalyaan-1 manakala Kesatuan Eropah (EU) mempunyai dua kapal angkasa pengorbitan selain China dan UAE masing-masing mempunyai sebuah kapal angkasa kecil mengelilingi Marikh.
Menurut portal berita Global Times, NASA telah berjaya mendarat di planet tersebut sebanyak lapan kali dan kejayaan pendaratan kenderaan robotik Perseverance menjadikan agensi angkasa lepas AS itu berjaya mendarat sebanyak sembilan kali di Marikh.
Misi NASA ke planet merah itu melibatkan kos sebanyak AS$2.2 bilion (RM8.89 bilion) selepas mengharungi penggembaraan sejauh kira-kira 470.73 juta kilometer dari bumi setelah dilancarkan dari roket Atlas V kira-kira tujuh bulan lalu di Stesen Tentera Udara Cape Canaveral, Florida, AS pada 30 Julai 2020.
Kenderaan robotik sebesar sebuah kenderaan utiliti lasak (SUV) yang mempunyai enam roda dan seberat 1,025 kilogram itu turut berjaya menghantar gambar-gambar hitam putih serta berwarna planet tersebut kepada makmal NASA di bumi. Ia yang dilengkapi dengan sebuah helikopter kecil untuk tujuan eksperimen turut menghantar gambar berwarna permukaan Marikh yang kering dan berbatu-batu dengan paparan bayang-bayang kenderaan robotik tersebut.
Sebelum ini, satu lagi imej berwarna yang dihantar oleh kenderaan robotik yang mempunyai nama julukan Perky dikongsi di Twitter yang menunjukkan batu-batu berwarna kuning.
Pada 14 Julai 1965, sebuah kapal angkasa NASA pernah menghantar kira-kira 21 gambar planet merah itu ke bumi.
Sebuah kapal angkasa Kesatuan Soviet yang kini Rusia terhempas ketika cuba mendarat dan sebuah lagi terputus hubungan 20 saat selepas mendarat di Marikh pada tahun 1971.
Kenderaan robotik Perseverance yang dilengkapi kamera dan mempunyai misi mencari tinggalan hidupan purba di Marikh akan mengambil sampel batuan dan tanah untuk dihantar ke bumi pada tahun 2030 bagi tujuan dianalisis oleh para saintis di makmal AS.
Portal berita The Conversation memetik kenyataan seorang pensyarah di Universiti Birmingham, United Kingdom (UK), Dr Steffi Paladini melaporkan China mempunyai matlamat jelas untuk memenangi perlumbaan ke angkasa lepas berdasarkan pencapaiannya yang mencipta sejarah apabila berjaya mendarat di permukaan sisi gelap bulan buat pertama kali pada Disember lalu.
Klik di sini untuk terus membaca