SUNGAI SIPUT - Terpaksa menumpang bas kilang ke sekolah antara cabaran yang dihadapi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjelang peperiksaan itu pada Isnin ini.
Namun, bagi T Elavarasi, 18, cabaran tersebut bukan penghalang bagi dirinya untuk mencapai sasaran cemerlang dalam peperiksaan yang akan diadakan mengikut norma baharu.
Dia yang tinggal di Ladang Sungai Krudda, di sini terpaksa menaiki bas memandangkan jarak ke SMK Datuk Haji Abdul Wahab di sini sejauh kira-kira 14 kilometer.
"Sebelum ini memang saya naik bas sekolah, tetapi apabila pelajar SPM tak ramai, bas tak boleh nak hantar. Jadi saya terpaksa naik bas kilang ke sekolah untuk pastikan saya tak ketinggalan.
"Memang tempoh pembelajaran norma baharu ini sangat mencabar bagi kami, tapi saya yakin mampu untuk hadapi semua ini,” katanya.
Mengenai Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pula, Elavarasi berkata, proses pembelajaran di rumah lebih mencabar kerana suasana yang begitu berbeza.
Katanya, dia terpaksa mengambil sedikit masa untuk mendapatkan suasan belajar memandangkan gajet dan kemudahan sedia ada terpaksa dikongsi bersama empat adik-beradik yang lain.
Bagi mengelak bertembung dengan adik-beradiknya yang lain, dia akan bangun seawal jam 3 atau 5 pagi untuk belajar dalam keadaan tenang atau pada waktu tengah malam untuk lebih fokus.
"Saya akui bukan senang nak dapatkan mood belajar di rumah. Mujurlah sekarang sudah ada banyak saluran dan kemudahan dalam talian yang boleh diteroka untuk saya belajar. Pada waktu awal pagi dan tengah malam saya boleh buat rujukan serta ulangkaji,” katanya.
Dalam pada itu, Elavarasi tetap optimis untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 8A daripada 12 subjek yang diambil.
Klik di sini untuk terus membaca