GEORGETOWN - Menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam keadaan negara sedang menghadapi penularan pandemik Covid-19 bukan perkara mudah.
Perkara itu diakui calon SPM, Tengku Nur Alia Tengku Anwar yang merupakan pelajar SMK Seri Balik Pulau.
Menurutnya, cabaran paling utama untuk menduduki peperiksaan SPM pada Isnin ini adalah cara pembelajaran menerusi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Dia berkata, capaian internet yang tidak konsisten di kawasan kediamannya juga ‘menguji kesabarannya’ apabila kadangkala ketinggalan dalam pembelajaran.
"Sangat mencabar apabila capaian internet tidak konsisten. Sekejap laju, sekejap perlahan.
"Bagaimanapun, saya tidak patah semangat dan terus belajar walaupun dalam keadaan sukar. Alhamdulillah, saya dibantu oleh guru dan rakan-rakan lain,” katanya ketika ditemui di Balik Pulau baru-baru ini.
Tambahnya, dia yakin dapat menduduki peperiksaan SPM dengan baik selepas membuat persiapan sejak tahun lalu.
"Saya bersyukur apabila NGO Pertubuhan Badan Pemikir Melayu (PEMIKIR) membantu anak Balik Pulau yang menghadapi masalah liputan telekomunikasi ketika menjalani proses PdPR.
"Pembelajaran saya berjalan lancar dengan adanya kemudahan wifi percuma di Dewan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di Titi Teras yang disediakan PEMIKIR,” katanya.
Tengku Nur Alia berkata, dia akan membuktikan bahawa cabaran pembelajaran PdPR ini tidak akan menghalangnya untuk memperoleh keputusan cemerlang.
"Belajar menerusi PdPR memerlukan usaha berlipat kali ganda namun cabaran ini bukan satu halangan untuk saya, malah saya menjadikannya sebagai pembakar semangat,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca