KETIKA negara-negara dunia ketiga menjadi tanah jajahan kepada penjajah Barat, maka negara yang dijajah itu tidak hanya dijajah dari segi kekayaan negaranya, malah pemikiran anak negaranya juga dipengaruhi dengan pemikiran Barat terutama bagi negara yang berpegang kepada agama dan budaya tempatan yang agak kuat.
Lantas, dalam melaksanakan dasar itulah, maka ketika negara Mesir dijajah kuasa Inggeris umpamanya, seorang ahli pemikirnya, Lord Cromer pada tahun 1916 dalam bukunya, Modern Egypt atau Mesir Moden telah mencatatkan beberapa pandangannya sebagai dasar penjajah yang amat terkemuka bagi sebuah negara Islam yang agak maju ketika itu. Antara lain, Lord Cromer menegaskan bahawa:
1. Barat tidak seharusnya membenarkan pembangunan sebuah negara Islam di tanah jajahannya.
2. Umat Islam haruslah diusahakan supaya menjauhi pembangunan negara berdasarkan prinsip tamadun Islam.
3. Dalam kalangan wanita, kedudukan dan status mereka haruslah berdasarkan gagasan Barat.
4. Menjadi satu kemestian kepada Barat supaya mendidik generasi muda Muslim yang bakal memimpin negara mereka dengan kefahaman sekularisme dan liberalisme.
Lord Cromer yang ketika itu menjawat jawatan Konsul Jeneral British di Mesir membuat kesimpulannya yang amat penting iaitu pihak Barat hendaklah menunjukkan kepada umat Islam pada lahirnya bahawa Barat amat berusaha meningkatkan taraf umat Islam di dunia supaya mereka terasa pihak Baratlah yang berusaha membantu kebangkitan mereka.
Pada dasarnya, hal itu adalah taktik mereka yang sebenarnya untuk menjadikan umat Islam lemah dalam memahami konsep menyeluruh agamanya dan Islam hanya merupakan nama semata-mata kerana Islam yang dibangunkan Barat tidak semestinya Islam yang sebenarnya.
Daripada perbincangan am yang pernah dijalankan dalam masyarakat Islam termasuk dalam kalangan sarjana dan ahli akademik negara kita sendiri, ternyata bahawa usaha besar yang dilakukan Barat pada peringkat antarabangsa bagi melemahkan umat Islam adalah mengembelingkan segala kepintaran mereka dalam bidang pendidikan dan pemikiran umum umat Islam.
Ia supaya mereka mengamalkan dasar sekularisme dan liberalisme dalam pendidikan dan kaedah penguasaan ilmu agar kepentingan ilmu sebagai alat tamadun Islam tidak didominasikan lagi selepas kejatuhan negara dan empayar Islam dahulu.
Pendidikan
Pada umumnya, pendidikan rasmi di pusat pendidikan umat Islam adalah mempelajari ilmu berdasarkan aliran sekularisme yang dipisahkan daripada ilmu moden lainnya, yang membicarakan tentang tabiat alam dan pembangunan bersifat saintifik.
Malah, dalam pengurusan dunia umumnya, dari segi pengurusan manusia dan alam, pentadbiran tenaga manusia, pembangunan insan sendiri dalam segala aspek kemajuan dunianya, juga dalam ekonomi dan perniagaan, malah dalam politik serta pembangunan keluarga.
Matlamat penjajahan Barat adalah membangunkan umat Islam dalam kehidupan dunia yang bebas sama sekali daripada prinsip dan sarwajagat Islam.
Dengan itu, segala urusan kehidupan mereka di dunia, dalam hubungan dengan konsep ketuhanan Yang Maha Esa dan nilai-nilai akhlaknya hanya merupakan simbolik serta luaran semata-mata terutama bagi mencapai objektif penjajahan yang semata-mata untuk menguasai sumber alam dan hasil ekonomi di negara-negara jajahan mereka.
Penjajah juga menunjukkan bukti kejiwaan dan kebendaan dunia yang ternyata mempengaruhi umat jajahan mereka bahawa pemisahan antara ilmu agama dan roh ilmu Islam itulah yang menyebabkan mereka mencapai kemajuan tinggi di dunia ini.
Pengaruh sekularisme ilmu itu sebenarnya telah lahir dengan agak nyata dalam kalangan masyarakat Islam hingga ke masa yang terakhir ini dalam bentuk pendidikan Islam terutamanya.
Hal berkenaan tidak begitu disedari umat Islam terutama di negara-negara yang tidak memberikan pengetahuan agama yang semasa untuk kesedaran umat Islam, khususnya tenaga muda anak-anak umat Islam sendiri.
* Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca