SHAH ALAM - Cadangan kerajaan memperkenalkan pasport vaksin sebagai pengesahan pengambilan vaksin Covid-19 mampu menjadi 'tiket kebebasan' rakyat melonggarkan pergerakan, seterusnya memberi harapan kepada pemulihan ekonomi negara secara keseluruhannya.
Penganalisis ekonomi, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, inisiatif yang bakal diperkenalkan itu amat wajar kerana memberi impak positif yang tinggi kepada pelbagai sektor ekonomi lebih-lebih lagi yang terkesan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini.
"Secara psikologinya, kita rasa lebih selamat dengan orang yang sudah mendapatkan suntikan vaksin. Dengan memperkenalkan pasport vaksin, kerajaan mungkin boleh memberi kelonggaran merentas negeri secara berperingkat berdasarkan jumlah peratusan penerima vaksin. Jadi masyarakat akan lebih bersemangat untuk mendapatkan vaksin dan memperoleh pasport vaksin.
"Tentunya selepas kerajaan memperuntukkan perbelanjaan yang besar untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, kita jangka hasil pemulihan ekonomi adalah lebih daripada perbelanjaan tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan tidak boleh memberi penekanan kepada pengenalan kepada polisi semata-mata tanpa pelaksanaan sistem yang berkesan.
Menurutnya, pasport vaksin juga perlu dilengkapi dengan elemen yang memudahkan proses pengesahan menggunakan teknologi.
"Setiap polisi memerlukan pemantauan melalui sistem yang baik. Pemalsuan pasport antara perkara perlu diambil kira. Jadi mungkin pasport vaksin ini memerlukan keistimewaan teknologi tertentu.
"Sekurang-kurangnya memudahkan pemeriksaan dijalankan pihak kesihatan atau pihak berkuasa untuk mengenal pasti sama ada benar pemegang pasport vaksin itu telah menerima suntikan vaksin,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca