APABILA seseorang itu lebih hebat berbahasa Inggeris dengan sebutan yang tepat tatabahasanya tidak semestinya dia lebih bagus daripada orang lain yang tergagap-gagap untuk bercakap mat saleh.
Begitu juga dengan seseorang itu yang kurus tidak semestinya dia lebih bagus daripada orang lain yang gemuk gedempol. Yang putih gebu kulitnya tidak semestinya lebih mulia daripada yang paras rupa hitam melekat.
Apa yang Merak Jalanan faham dan kebanyakan orang faham, tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Semuanya ada kekurangan dan kelebihan masing-masing. Amat tidak wajar apabila seseorang itu mempunyai kelebihan dalam sesuatu perkara mengejek orang lain yang tidak setara dengannya.
Ejekan pula ditularkan di media sosial dan penghinaan itu boleh ditonton sesiapa sahaja di seluruh dunia. Maka, apa yang harus dilakukan supaya tidak terjebak menjadi manusia yang rasa diri lebih hebat daripada orang lain?
Apa yang Merak Jalanan amalkan adalah selalu memandang cermin. Kalau boleh lakukan sekerap mungkin supaya kita mengetahui bahawa tiada apa yang perlu dibanggakan sangat dengan diri sendiri.
Ramai lagi orang di luar sana yang lebih hebat daripada Merak Jalanan, misalnya dalam soal sebutan perkataan Inggeris ataupun hebat dalam tatabahasa. Untuk mengelak kita mengejek orang lain, Merak Jalanan sarankan agar kita melihat sesuatu perkara dari sudut positif kerana banyak keindahan yang akan terpampang apabila ia dilihat dengan kebaikan.
Merak Jalanan harap dalam zaman yang serba canggih ini, kita buang jauh-jauh sikap mengejek, mencela dan merendah-rendahkan orang lain kerana tiada kebaikan daripada sikap tersebut.
Semoga dengan mengamalkan sikap merendah diri dan berfikiran positif, hidup kita akan lebih bermakna dan tidak mencipta banyak musuh yang akhirnya memudaratkan diri sendiri.
Klik di sini untuk terus membaca