LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mampu menarik nafas lega jika kerajaan memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada 2,500 pemain dan pegawai di peringkat elit seawal mungkin.
Selaku badan pentadbir Liga Malaysia (Liga-M), MFL sudah pasti berharap kerajaan dapat mempertimbangkan permohonan yang dikemukakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini demi kelangsungan saingan liga domestik.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya sedar keutamaan penerima awal suntikan vaksin Covid-19 ketika ini adalah petugas barisan hadapan.
"Sepertimana yang dinyatakan Presiden FAM, Datuk Hamidin (Mohd Amin), permohonan yang dibuat FAM dan MFL kepada pihak kerajaan sebelum ini bertujuan memastikan kelangsungan saingan Liga-M.
"Itulah sebabnya kami di peringkat MFL, ada gelembung sukan sendiri yang perlu diikuti oleh setiap pemain dan pegawai pasukan. Mereka juga perlu patuh dengan SOP (prosedur operasi standard) yang telah ditetapkan MFL dan pihak kerajaan.
"Sekiranya pemain dan pegawai sudah disuntik dengan vaksin Covid-19, ia akan memudahkan lagi perjalanan Liga-M sama ada ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
"Namun, kami pun tidak tahu bilakah pemain dan pegawai pasukan akan menerima vaksin ini. Cuma saya berharap permohonan kami mendapat pertimbangan kerajaan. Jika bukan bagi fasa pertama, mungkin bagi fasa kedua kami akan terima,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Terdahulu, Hamidin memaklumkan, FAM dan MFL telah mengemukakan permohonan itu hasil perbincangan bersama Kementerian Sains, Inovasi dan Teknologi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan sasaran kelompok pemain tempatan dapat diberikan suntikan vaksin dengan kadar segera.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada Sabtu pula mengesahkan sudah menghantar senarai nama 4,000 atlet dan pegawai yang akan mewakili negara ke peringkat antarabangsa seperti Sukan Olimpik, Sukan SEA dan Sukan Asia kepada pihak MOSTI agar diberikan keutamaan sebagai penerima vaksin Covid-19.
Pada masa sama, Ab Ghani turut berharap barisan pemain Harimau Malaya diberikan keutamaan dalam pemberian suntikan vaksin Covid-19 sebelum mereka menjalani kem latihan pusat Mac ini sebagai persediaan menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 Jun depan.
"Kami tidak mendesak kerana kami faham bahawa petugas barisan hadapan adalah mereka yang perlu diberikan keutamaan untuk menerima vaksin tersebut.
"Tetapi jika dilibatkan ‘masyarakat sukan’, kami berharap kerajaan dapat membuat pertimbangan sewajarnya supaya industri bola sepak negara dapat kembali 'hidup' seperti kebiasaan,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca