"Saya dah berniaga di sini selama 35 tahun Bang...belum pernah lagi saya lalui situasi perit dan getir sepertimana hari ini...saya dah bergadai golok apa saja yang ada...”
Demikianlah luahan hati pemilik Zakir Batik di Pasar Seni Kuala Lumpur ketika ditemui di hadapan lot kedainya pada Ahad.
Dia dan anak lelakinya Iman sedang termenung menongkat dagu memandang kosong jauh di hadapan.
Dan di hadapan kedai mereka terdapat barisan lot-lot kedai yang kosong dan telah ditutup perniagaan. Pendek kata gulung tikar kerana sudah tidak tahan lagi dengan penangan Covid-19.
Di sudut kedai mereka, tiga orang pekerja juga kelihatan bosan menunggu pelanggan yang tidak kunjung tiba. Mereka mundar-mandir di kaki lima tingkat atas Pasar Seni itu untuk menghilangkan rasa bosan.
Mereka menunggu pelanggan dengan penuh kesabaran. Setiap hari jika ada jualan yang melebihi RM150 itu sudah dianggap luar biasa kerana hakikatnya setiap hari tiada jualan langsung.
"Saya, anak-anak dan pekerja saya lebih ramai dari jumlah pelanggan,” kata Zakir dengan wajah yang tersenyum. Bunyi macam kelakar namun di sebalik senyuman itu terpahat keperitan yang sangat mendalam. Siapa saja akan dapat menyaksikannya jika mengadap wajahnya pada ketika dan saat itu.
"Kenapa tidak tutup sahaja perniagaan pada waktu begini?”
"Bukan tak nak Bang...tapi saya harus mengambil kira beberapa faktor. Perjanjian dengan pihak pengurusan Pasar Seni, kebajikan pekerja dan macam-macam perkara.
"Semua wang simpanan saya termasuk simpanan ASB dah saya keluarkan untuk mempertahankan perniagaan saya ini. Jika saya lepaskan sekarang, kat mana saya nak sumbat segala stok barangan saya ini Bang.
"Tengok sajalah jumlah yang memenuhi kedai dan yang paling getir, jika saya mengalah sekarang dan lepaskan segala-galanya, mati hidup semula tak mungkin saya akan dapat masuk dan berniaga di sini semula,” tegasnya.
Menurut usahawan ini, dia hanya perlu bertahan sedikit sahaja lagi.
"Saya hanya perlu bertahan dan bersabar. Bila vaksin ini selesai disuntik kepada rakyat di seluruh negara dan sempadan negara dibuka semula selepas covid reda di seluruh dunia saya yakin pelancong akan masuk semula dan perniagaan kami anak beranak akan kembali normal,” ujarnya lagi.
Melihat suasana Pasar Seni dengan mata kepala sendiri memberi satu pengalaman baru kepada sesiapa kerana pusat tumpuan pelancong ini tidak pernah sunyi tetapi kini ia bagaikan dilanggar garuda.
Usahkan kata pelancong asing malah kelibat pelancong tempatan pun tidak kelihatan.
Setiap sudut, setiap kaki lima di dalam kompleks itu tidak ada orang yang mundar-mandir.
Banyak lot kedai yang suatu ketika dulu penuh dengan barangan kraftangan dan barangan seni yang memberi nama kepada kompleks ikonik ini sudah gulung tikar.
Jika lot kedai pun tidak dapat bertahan apatah lagi kiosk-kiosk kecil yang berada di lorong-lorong di dalam Pasar Seni itu. Boleh dikatakan kesemuanya tutup.
Dan bagi yang tetap bertahan membuka kedai sepertimana Zakir Batik kemunculan pelanggan bagaikan satu rahmat ibarat tanah gersang yang ditimpa hujan selepas kemarau panjang.
Segeralah pergi covid kerana ramai yang sudah sengsara...
Klik di sini untuk terus membaca