TAHAP profesionalisme beberapa kelab Liga Malaysia (Liga-M) masih rendah rentetan masalah pengurusan dan kewangan yang dihadapi mereka sebelum sepak mula saingan musim ini pada 5 Mac depan.
Bagi Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan, kebergantungan kepada dana kerajaan negeri selain tahap profesionalisme terutama pengurusan pasukan menyaksikan beberapa kelab dilanda masalah sebelum saingan liga bermula.
"Secara umum, saya lihat ini adalah masalah melibatkan kewangan. Setiap pasukan ini masih mengharapkan dana kerajaan negeri untuk membina pasukan walaupun kita sudah diswastakan sepenuhnya.
"Saya tidak menghalang bantuan kerajaan negeri tetapi kalau terlalu bergantung inilah yang akan berlaku. Mereka tidak mampu mencari penaja sendiri dan jika kewangan tidak cukup, maka yang akan jadi mangsa adalah pemain dan pegawai pasukan.
"Selain itu, apabila sesebuah kerajaan itu berubah, ia akan menyebabkan masalah kerana presiden pasukan itu (kebiasaanya menteri besar) sudah tiada apa-apa, tiada kuasa. Sebab itu akan timbul banyak masalah seperti yang berlaku hari ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Terdahulu, Kedah FC dilaporkan menghadapi masalah dalam mencari pemilik Kedah Darul Aman (KDA) FC selepas rundingan membabitkan sebuah syarikat swasta baru-baru ini menemui kegagalan.
Perak FC pula dilaporkan berdepan masalah kewangan sehingga timbul isu tunggakan gaji pemain sebelum ini dan terbaharu, The Bos Gaurus dikejutkan dengan berita pengendalinya, Mehmet Durakovic tidak lagi bersama mereka.
Mengulas lanjut, Sathianathan yang kini memikul tugas sebagai Pengarah Teknikal Sarawak United tidak menolak kemungkinan campur tangan ‘orang politik’ memberikan kesan yang lebih teruk kepada sesebuah kelab.
"Peranan orang politik ini penting jika dia betul-betul minat. Kalau dia nak menyumbang kewangan atau sebagainya sangat dialukan tetapi jangan biarkan dia mempunyai pegangan saham atau kepentingan dalam pasukan.
"Banyak kelab menghadapi masalah kerana campur tangan politik. Kesannya sudah tentu akan dirasai oleh pemain, pegawai dan kelab itu sendiri.
"Saya harap masalah-masalah yang berlaku ini dapat diselesaikan dengan baik sebelum saingan liga bermula,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: KDA FC: Rundingan syarikat swasta gagal dimuktamad
Isu Perak II dibincang minggu depan
Klik di sini untuk terus membaca