MINGGU lalu, Mahkamah Persekutuan mendapati portal berita online Malaysiakini telah melakukan kesalahan menghina institusi kehakiman dan mensabitkannya dengan hukuman denda RM500,000.
Dapatan mahkamah secara khusus menjurus kepada lima komen pembaca yang telah dirujuk satu persatu oleh mahkamah, kesemua komen tersebut didapati menghina institusi kehakiman.
Malaysiakini, juga telah mengakui bahawa komen-komen tersebut menyinggung perasaan, tidak sesuai, tidak hormat dan menghina mahkamah.
Yang mendukacitakan ialah tiada apa-apa tindakan undang-undang diambil terhadap mereka yang telah membuat komen-komen tersebut.
Keputusan kes ini mempunyai kesan yang mengerikan kepada pemilik portal berita online dan juga syarikat media arus perdana yang juga mempunyai portal berita online.
Pertama sekali adalah dapatan mahkamah bahawa portal berita online dalam memuat-naik dan menyiarkan komen-komen pihak ketiga ditakrifkan melakukannya sebagai penerbit.
Kedua, portal berita online yang menyediakan ruang komen untuk pihak ketiga perlu bertanggungjawab untuk komen-komen yang tersiar.
Keputusan Mahkamah Persekutuan ini tidak jauh berbeza dengan kes Fairfax Media Publication; Nationwide News Pty Ltd, Australian News Channel Pty Ltd menentang Voller (2020) NSWCA 102.
Dalam kes tersebut, Mahkamah Rayuan New South Wales, Australia telah memutuskan bahawa syarikat berita yang memuat naik komen-komen pembaca dalam portal berita onlinenya melakukannya sebagai penerbit dan bertanggungjawab untuk semua komen pihak ketiga yang tersiar.
Justeru, tiada lagi pembelaan untuk pemilik portal berita menyatakan bahawa mereka tidak wajar dipertanggungjawabkan untuk komen pihak ketiga.
Tujuan besar portal berita online membenarkan pihak ketiga memuat komen adalah untuk merancakkan perbincangan tentang sesuatu topik berita dan pada masa yang sama dapat juga mengetahui pandangan umum terhadap isu berita yang tersiar.
Kesemua komen pihak ketiga tersiar dalam ruang komen secara automatik. Pada masa ini, pengawasan komen adalah melalui perisian yang telah diprogramkan untuk mengesan senarai kata-kata larangan dan sekiranya dikesan akan secara automatik menyekat komen tersebut daripada dimuat-naik.
Tetapi amat sukar untuk perisian tersebut mengesan komen yang sarat dengan hujahan, caci-maki dan penghinaan apabila komen tersebut tidak menggunakan kata-kata larangan tertentu.
Pengamatan saya ialah komen-komen jelik dibuat oleh mereka yang berselindung dengan nama samaran. Dengan menggunakan nama samaran mereka berani dan berasa bebas untuk menghujah, mencela dan menghina.
Kini susulan daripada keputusan Mahkamah Persekutuan ini, pemilik media pada masa hadapan perlu mempertimbangkan satu peraturan yang mengkehendaki sesiapa yang ingin memuat-naik komen mestilah terlebih dahulu mendaftar maklumat diri mereka dan selepas disahkan dan diterima pendaftaran mereka, barulah mereka dibenarkan memuat-naik komen.
Juga pemilik portal berita online, perlu melantik seorang moderator untuk memantau dan menapis komen terlebih dahulu sebelum dimuat naik.
Malaysia sehingga sekarang mengamalkan kebebasan terbuka internet. Kebebasan bersuara bukanlah satu hak mutlak dan tanpa batas.
Oleh yang demikian yang menyalahgunakan kebebasan juga wajar berhadapan dengan tindakan undang-undang dan bukan hanya pemilik portal memikul tanggungjawab.
*Norman Fernandez ialah seorang pengamal undang-undang
Klik di sini untuk terus membaca