MELIHAT orang lain berbasikal, adakalanya terbit rasa cemburu dengan keseronokan mereka.
Jujur penulis katakan, penulis tak pandai berbasikal, tak berani pun nak naik basikal. Pernah juga mencuba belajar mengayuh masa kecil dahulu tetapi pada percubaan ketiga, penulis angkat ‘bendera putih’.
Aktiviti berbasikal sekarang ini sudah gaya hidup masyarakat terutamanya di bandar-bandar besar. Ramai juga kawan penulis yang mula aktif dalam sukan ini termasuklah kakak penulis yang dahulunya kaki panjat gunung kini bertukar kepada mengayuh basikal.
Hampir setiap minggu, dia dan suami berbasikal ke setiap pelosok jalan. Malah, dia membeli basikal umpama membeli sayur di pasar. Begitu terujanya dia dengan sukan baharunya itu.
Berbasikal secara off road atau di kawasan riadah mungkin tidak membahayakan. Namun, yang dikesalkan ialah terdapat segelintir peminat sukan ini terutamanya yang baru berjinak-jinak berbasikal di jalan raya dan tidak mematuhi undang-undang jalan raya yang ditetapkan hingga mendatangkan bahaya kepada pengguna lain.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, pihak polis tidak melarang aktiviti berbasikal namun penunggang basikal juga perlu mematuhi setiap aspek keselamatan yang ditetapkan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
"Mereka yang menunggang secara melulu dan membahayakan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 54(1) APJ 1987 dan boleh didenda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih RM5,000 selain boleh dipenjara tidak lebih 12 bulan.
"Bagi mereka yang gagal mematuhi papan tanda lalu lintas yang melarang berbasikal di lebuh raya pula boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 79(2) APJ 1987 dan boleh didenda tidak kurang RM200 dan tidak lebih RM2,000,” kata beliau.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali menganggarkan kira-kira 1,000 peminat sukan berbasikal beriadah di sekitar Putrajaya pada setiap hujung minggu.
Katanya, menurut statistik kemalangan jalan raya membabitkan basikal di Putrajaya, pihaknya merekodkan enam kes kemalangan jalan raya pada 2019 dan kesemua mereka mengalami cedera ringan, manakala sepanjang 2020, 11 kes direkodkan dengan satu kes kematian.
Timba ilmu
Tidak dapat dinafikan, sesetengah kelakuan pengayuh basikal telah mencetuskan kemarahan dan bahaya, namun masyarakat juga perlu faham bahawa tidak banyak tempat sesuai untuk aktiviti sihat ini.
Menurut laporan sebuah portal berita, salah seorang pengasas Get Together Cycling Club (GTCC), Edward Khoo berkata, meskipun terdapat kekurangan kemudahan yang mesra pengayuh basikal di Malaysia tetapi mereka yang baru menerokai bidang pengayuhan basikal ini tidak boleh menjadikannya alasan untuk berkayuh secara berbahaya yang boleh mengancam keselamatan orang lain.
"Sewajarnya mereka menyertai kumpulan pengayuh otai atau belajar beberapa teknik atau maklumat yang boleh diperoleh daripada internet sebelum berkayuh di jalan raya.
"Saya lebih suka sekiranya pengayuh baharu ini menjalani latihan dalaman dahulu sebelum mengayuh basikal di jalan raya,” katanya.
Beliau berpandangan, sikap sedemikian penting bagi mengelakkan pengayuh baharu ini daripada kemalangan.
Pengguna jalan raya tidak tahu ada beberapa tempat yang menjadi pilihan pengayuh basikal, kecuali ada papan tanda di sepanjang jalan untuk mereka memperlahankan kenderaan dan memantau persekitaran jika ada pengayuh basikal.
"Pengayuh basikal perlu tahu bila perlu memperlahankan kayuhan apabila berada di jalan raya, memberi tumpuan kepada apa yang ada di hadapan mereka, juga di kiri serta di kanan, sebelum tiba di persimpangan.
"Mereka juga perlu tahu isyarat tangan yang diberikan pengayuh di hadapan sekiranya mereka mengikuti dari belakang,” katanya.
Khoo menambah, pengayuh basikal juga perlu membuat perancangan laluan mana yang sesuai untuk mengayuh basikal dan mengelakkan daripada menggunakan laluan yang sibuk dengan kenderaan berat.
Untuk peminat sukan berbasikal, lakukanlah aktiviti tersebut pada waktu dan tempat yang sesuai bagi mengurangkan risiko kemalangan.
Bagi penulis yang pengecut ini, basikal statik kan ada...keseronokannya mungkin berbeza tetapi manfaat kesihatannya tetap terasa.
*Pupe Rahaizad Darsono ialah penyunting Sinar Harian