PANAS sungguh kisah-kisah melibatkan pemandu kereta Myvi. Sebagaimana panasnya jualan Myvi yang sudah pun melebihi angka satu juta di pasaran negara ini, begitulah juga pelbagai insiden membabitkan pemandunya.
Merak Jalanan pun agak pelik kenapa banyak kes kemalangan serta insiden lain akibat pemanduan melulu melibatkan kereta Myvi.
Itu belum lagi kisah kawan-kawan Merak Jalanan yang diberikan lampu tinggi oleh kereta laju di belakang.
Disangkanya BMW atau Ferrari, tapi sekali yang memecut memotong rupanya kereta Myvi.
Mungkin suratan dan mungkin juga kebetulan. Tetapi disebabkan banyak kes pemilik Myvi memandu laju, netizen memberikan pelbagai gelaran kepada mereka antara yang popular raja di jalan raya.
Merak Jalanan sendiri masih ingat satu kisah nahas tragis melibatkan Myvi enam tahun lalu.
Dalam insiden tersebut, sepasang suami isteri dan anaknya terkorban selepas Pajero mereka dilanggar dua kereta Myvi yang dipercayai dipandu laju dan sedang berlumba di Lebuh Raya DUKE, Ampang.
Lebih menyentuh hati, kemalangan tersebut menyebabkan dua lagi cahaya mata pasangan itu menjadi yatim piatu.
Semalam tular satu lagi video insiden kemalangan membabitkan Myvi yang dipandu laju. Kereta itu dilihat memecut di bulatan sebelum menghentam sebuah van dan kereta Waja. Walaupun tiada nyawa terkorban namun difahamkan pemandu van tersebut cedera parah.
Walaupun, hakikatnya secara kebetulan banyak insiden kerap melibatkan Myvi, yang patut disalahkan bukanlah kereta itu kerana kesalahan tersebut sudah pastilah di atas bahu pemandu.
Yang pasti buat pemandu-pemandu Myvi lain, mungkin insiden itu wajar menjadi peringatan bersama agar tidak memandu laju dan melulu di jalan raya.
Klik di sini untuk terus membaca