JOHOR BAHRU- [LAPORAN KHAS] Sepasang suami isteri yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan terpaksa bergantung kepada makanan yang diberikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada setiap hari.
Pasangan yang mahu dikenali sebagai Amir, 21, dan Dilla, 27, itu tinggal di sebuah bilik di Larkin yang disewa secara harian dengan bayaran RM28 sejak sebulan lalu.
Amir yang sebelum ini bekerja di sebuah bengkel di bandar raya ini diberhentikan kerja sejak dua bulan lalu berikutan pendapatan bengkel yang semakin merosot.
Bermula daripada situ, Amir kehilangan pendapatan dan terpaksa bergantung dengan wang simpanan untuk menyara isteri, membayar sewa bilik dan belanja makan serta minum.
Amir berkata, dia dan isterinya tidak pernah berputus asa mencari pekerjaan demi mendapatkan wang, namun segalanya hampa.
"Saya cuba untuk bekerja di kedai cuci kereta, kedai makan dan sebagainya yang boleh bayar upah secara harian.
"Ada yang bagi kerja tetapi kebanyakannya tidak mahu ambil pekerja baharu kerana risau ada (penularan pandemik) Covid-19.
"Saya lihat sudah banyak kedai-kedai ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jadi susah untuk saya dapatkan kerja,” katanya ketika ditemui di Laman Tun Sri Lanang di sini.
Menurut Amir, dia tidak menyangka begitu sukar untuk mendapatkan kerja ketika negara dilanda Covid-19 sehingga menyebabkan dia dan isteri bergantung kepada makanan yang diberikan kepada golongan gelandangan.
"Saya dan isteri akan datang ke lokasi yang menyediakan makanan kepada gelandangan di Persiaran Tun Seri Lanang dan Stesen Keretapi Lama Johor Bahru untuk mengambil makanan bagi mengalas perut.
"Wang yang ada digunakan untuk membayar sewa bilik kerana kami perlu bayar secara harian. Selain itu, kami perlu berjimat cermat kerana perlu bayar tambang bas untuk bergerak dari Larkin ke Bandaraya Johor Bahru,” katanya.
Menurut Amir, dia dan isteri dilayan baik oleh sukarelawan NGO yang memberi makanan dan menganggap gelandangan lain seperti rakannya.
"Saya dan isteri akan duduk makan bersama gelandangan di sini. Pelbagai kisah mereka kongsikan termasuk kisah mereka yang diberhentikan kerja dan merindui keluarga yang jauh.
"Sebagai seorang yang masih muda, pastinya terdetik rasa sedih melihat mereka yang berusia menjadi gelandangan. Saya bersyukur kerana masih ada bilik yang selesa untuk didiami,” katanya.
Amir berkata, bantuan yang diberikan bukan sahaja untuk gelandangan tetapi sangat membantu insan seperti mereka untuk meneruskan kehidupan.
"Saya dan isteri amat bersyukur kerana masih dapat menjamah makanan.Terima kasih kepada mereka terutama NGO dan kerajaan negeri yang prihatin membantu gelandangan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca