SETIAP kali ada isu yang tular, dengan pantasnya jari jemari netizen memberikan komentar. Lebih sadis, tanpa membaca dan mengetahui latar belakang isu, terus memberikan maklum balas yang teruk dengan bahasa-bahasa yang tidak beradab hingga... Klik di sini untuk terus membaca

SETIAP kali ada isu yang tular, dengan pantasnya jari jemari netizen memberikan komentar.

Lebih sadis, tanpa membaca dan mengetahui latar belakang isu, terus memberikan maklum balas yang teruk dengan bahasa-bahasa yang tidak beradab hingga mengaitkan peribadi seseorang itu tanpa rasa bersalah.

Apabila komentar tidak berhemah terjadi, tentunya salah faham akan berlaku, seterusnya boleh mengeruhkan hubungan.

Tidak mustahil juga, rasa sakit hati bersarang dalam jiwa mereka hingga tercetusnya pelbagai rasa seperti dendam, rendah diri, juga tekanan.

Terkadang ada juga mereka yang berilmu dan dihormati terjebak hinggakan apabila kita terbaca komentar mereka, kita berasakan ada sesuatu tidak kena dan tidak sepatutnya diperkatakan olehnya.

Memang bukan sesuatu yang mudah untuk menangani keadaan seperti itu dalam era teknologi yang melaju, media sosial yang mengetengahkan pelbagai berita dan cerita setiap waktu.

Namun, peranan kita sebagai masyarakat bertamadun dan berilmu perlulah memikirkan kembali agar tidak terus hanyut dengan situasi yang tidak sihat ini.

Kita perlu menegur dengan menggunakan bahasa-bahasa yang baik, bukan mengejek apalagi menghentam dan melabelkan seseorang itu dengan teruk sekali.

Benar, setiap manusia pasti ada silapnya. Namun, jangan kerana orang lain melakukan kesilapan, ada sebahagian kita berasakan seakan-akan diri tidak akan pernah melakukan kesilapan sedemikian rupa lalu mengeluarkan maklum balas atau komentar sesuka hati.

Tentunya kita tidak ingin diperkatakan dengan kata-kata tidak baik, apalagi hingga menjatuhkan air muka, begitu jugalah orang lain.

Menurut pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Mardzelah Makhsin, manusia beradab sentiasa merujuk kepada perhubungan yang mematuhi norma, etika dan tingkah laku sosial mengikut keperluan tertentu terutama melibatkan institusi kekeluargaan, masyarakat, negara dan agama.

Sebagaimana dalam Islam, pendidikan adab adalah tanggungjawab utama dan ibu bapa seharusnya membiasakannya terhadap diri anak-anak sejak kecil.

Ketika hilangnya adab dalam kehidupan manusia, maka hilang juga rahmat daripada ALLAH SWT dan perasaan kasih sayang.

Kesan ketara daripada sikap masyarakat yang melakukan demikian, akan tercetusnya pertengkaran, permusuhan akibat hilangnya akhlak dan adab.

Adab

Jika ada ilmu setinggi langit sekalipun, andai diri tidak dihiasi dengan adab mulia, ia bukanlah sesuatu yang patut dibanggakan.

Sebagaimana kata-kata Abdullah ibn al-Mubarak dalam kitab karangan al-Khatib al-Baghdadi, al-Jami’ li Akhlaq al-Rawi yang bermaksud: "Kita lebih memerlukan kepada adab (walau) sedikit berbanding memiliki ilmu yang menggunung.”

Dalam situasi yang sangat mencabar kini, masyarakat kita terdedah dengan pelbagai isu di luar kotak fikiran.

Sebagai contoh, isu anak yang disyaki dibunuh ibu kandungnya atau seumpamanya, maka banyaklah tangan manusia yang laju menjatuhkan hukuman dan mengeluarkan kata-kata tidak selayaknya.

Memang situasi yang terjadi itu tidak kita sukai tetapi kerana perkara yang telah terjadi, seharusnya kita sebagai seorang Muslim mengungkapkan ucapan yang sepatutnya ketika mendengar khabar musibah untuk bersegera mengingati ALLAH SWT.

Ketika jari-jemari kita berasakan ingin memberi komentar, fikirkanlah sejenak, adakah apa yang akan ditaip itu sesuatu yang baik atau sebaliknya? Apakah kesan akan diterima empunya status dan bagaimana tanggapan pembaca lainnya kepada kita?

Apalagi jika seseorang yang ramai pengikut atau orang ternama, menulis status atau maklum balas kepada sesuatu isu tanpa mempedulikan kesan yang bakal dihadapi, kerana boleh jadi dengan kata-katanya itu, mendorong orang lain merujuk sebagai panduan.

Jika kita masih tidak mampu memberi saranan yang baik, maka seharusnya kita diam daripada menaipkan sesuatu.

Jadilah kita manusia berintegriti, adil dan berhikmah dalam memberikan maklum balas agar menjadi qudwah hasanah (contoh terbaik) kepada masyarakat, selain berusaha menjadi manusia yang melakukan islah (pembaikan).

Jangan terus biarkan toksik itu berleluasa tanpa noktah. Bersama kita membantu diri dan masyarakat agar menjadi manusia yang lebih baik.

* Atriza Umar berkhidmat di Jabatan Penerangan dan Perhubungan Pertubuhan IKRAM MALAYSIA

Klik di sini untuk terus membaca