KUANTAN - [LAPORAN KHAS] Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang mengesan kehadiran gelandangan baharu sekitar bandar Kuantan, namun bilangannya agak kecil dan tidak serius.
Pengarahnya, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, pihaknya sentiasa membuat pemantauan dan tindakan sewajarnya akan diambil bagi membendung masalah itu.
Menurutnya, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 sebelum ini, JKM Pahang melancarkan operasi selamatkan gelandangan di mana seramai 38 orang berjaya diselamatkan.
"Sebahagian daripada mereka kita usahakan peluang pekerjaan dan ada yang dihantar kembali ke pangkuan keluarga," katanya kepada Sinar Harian.
Zulkhairi berkata, isu gelandangan baharu dalam perancangan tindakan pihaknya memandangkan beberapa aspek perlu diberi perhatian termasuk prosedur operasi standard (SOP) dan sebagainya.
"Kebetulan Pahang dilanda banjir baru-baru ini di mana kami perlu memberi perhatian kepada usaha menyalurkan bantuan kepada mangsa semasa dan pasca banjir," katanya.
Tambah beliau, isu gelandangan di Pahang khususnya sekitar bandar Kuantan masih terkawal dalam tempoh PKP 2.0 ini.
"Isu paling utama adalah kehadiran peminta sedekah warga Rohingya pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang mana bukan sahaja berlaku di sini, malah sudah menjadi isu nasional," katanya.
Menjelaskan kekeliruan orang ramai yang mendakwa berlaku peningkatan golongan gelandangan di bandar Kuantan terutama sekitar Jalan Wong Ah Jang dan Jalan Pasar Baharu di sini, Zulkhairi berkata, dakwaan itu tidak benar.
"Sebaliknya kumpulan yang beratur setiap petang untuk mendapatkan makanan percuma yang diedarkan NGO di lokasi itu kebanyakan penduduk yang tinggal di kawasan tersebut dan hanya sebilangan kecil yang benar-benar gelandangan," katanya.
Sementara itu, Sukarelawan Malaysia Relief Agensy (MRA), Pai Syahira Yahya juga akui golongan paling ramai yang menerima sumbangan makanan percuma disediakan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) terdiri golongan rentan yang terkesan sepanjang PKP 2.0 manakala hanya sebahagian kecil golongan gelandangan.
Menurutnya, rata-rata penerima bantuan itu difahamkan ada tempat tinggal namun hilang sumber pendapatan ketika PKP ini.
Beliau yang terlibat dalam misi agihan makanan di dua lokasi sekitar bandar Kuantan sejak awal Februari lalu berkata, ramai dalam kalangan yang menerima sumbangan makanan itu dahulunya mempunyai pekerjaan.
Menurutnya, ada yang bekerja sebagai buruh, pengutip barang lusuh dan pelbagai pekerjaan kasar lain dan rata-rata menyewa bilik sekitar Jalan Wong Ah Jang dan Jalan Pasar di sini.
"Jadi mereka bukan semuanya golongan gelandangan tanpa rumah seperti mana tanggapan segelintir pihak.
"Isu gelandangan ini difahamkan telah ditangani pelbagai pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) sebelum ini," katanya.
Pai syahira berkata, berdasarkan pengalaman bersama golongan itu, beliau akui rata-rata mereka kini berdepan kehidupan begitu sukar untuk meneruskan kehidupan.
"Alhamdulillah dengan adanya bantuan makanan percuma daripada pihak Muip, sekurang-kurangnya mereka tidak kelaparan.
"Siapa pun mereka, dalam keadaan sukar ketika ini, bantuan patut dihulurkan lebih-lebih ada dalam kalangan yang terkesan ini mempunyai anak kecil," katanya.
Beliau juga secara peribadi bangga dengan semangat dan keikhlasan para sukarelawan yang terlibat termasuk Dapur Infaq Ummah yang menyedia dan mengagihkan makanan kepada golongan itu setiap hari bermula awal Februari lalu.
Muip sebelum ini mengambil inisiatif menyediakan makanan percuma bagi membantu golongan terkesan di sekitar bandar ini.
Antara 250 hingga 300 golongan yang terkesan berikutan pandemik Covid-19 termasuk gelandangan menerima manfaat melalui sumbangan makanan percuma yang akan diagihkan bermula 6.30 petang pada setiap hari.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Muip, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, pihaknya memperuntukkan RM20,000 bagi tujuan tersebut.
Katanya, makanan disediakan sepenuhnya oleh Dapur Infaq Ummah diketuai penggeraknya, Badrul Jamili Kamaruddin.
Klik di sini untuk terus membaca