SHAH ALAM - Warga emas yang tiada pengetahuan asas mengenai aplikasi telefon pintar ataupun bagi golongan yang tidak memilik gajet itu, perlu diberi pilihan untuk membuat pendaftaran di klinik-klinik kesihatan berhampiran.
Ini memandangkan golongan berkenaan kebanyakkan warga emas tidak mahir menggunakan aplikasi di telefon bimbit mudah alih berbanding golongan muda.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berkata, perkara itu penting kerana fasa seterusnya melibatkan pemberian vaksin kepada golongan itu bermula April ini.
Maka golongan itu adalah antara yang diutamakan kerana merupakan antara golongan berisiko.
"Pendaftaran awal perlu dibuat untuk menjamin bekalan vaksin untuk golongan warga emas, rentan dan kurang upaya mencukupi serta seterusnya melindungi mereka daripada mendapat jangkitan.
"Jadi kita harap pendaftaran secara manual juga dibuka kepada golongan ini agar mereka dapat mendaftar di klinik kesihatan berhampiran memandangkan ada yang tidak mempunyai telefon bimbit dan tidak pandai menggunakannya.
"Maka kerajaan juga haruslah memikirkan alternatif mengenai perkara itu bagi memudahkan mereka mendaftar dan tidak ketinggalan untuk mendapatkan suntikan vaksin melalui cara manual yang lebih sesuai bagi golongan ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau juga menambah, jika tidak didaftar secara manual sekalipun, beliau menggesa agar golongan muda terutamanya anak-anak agar dapat membantu ibu bapa bagi mengemaskini perisian dan seterusnya mengisi borang itu.
"Perkara ini penting kerana golongan warga emas berumur 60 tahun ke atas merupakan antara yang perlu diutamakan.
"Maka golongan inilah yang perlu diketengahkan terlebih dahulu memandangkan mereka mudah mendapat komplikasi yang membahayakan nyawa sekiranya mendapat jangkitan Covid-19,” katanya lagi.
Pada Rabu, jam 2.45 petang, sebanyak 465,081 permohonan pendaftaran untuk vaksin Covid-19 telah diterima.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melakar sejarah menjadi individu terawal di Malaysia mengambil suntikan vaksin pada petang Rabu.
Klik di sini untuk terus membaca