[LAPORAN KHAS] Aktiviti menuba udang galah di Sungai Kemaman, Terengganu sejak sekian lama bukan sahaja memberi kesan negatif terhadap ikan dan udang di dalam sungai tetapi ia mula mengganggu fisiologi tuntung sungai. Memburukkan keadaan,... Klik di sini untuk terus membaca

[LAPORAN KHAS] Aktiviti menuba udang galah di Sungai Kemaman, Terengganu sejak sekian lama bukan sahaja memberi kesan negatif terhadap ikan dan udang di dalam sungai tetapi ia mula mengganggu fisiologi tuntung sungai.

Memburukkan keadaan, aktiviti itu semakin rancak selepas musim tengkujuh iaitu antara bulan Februari dan Mac, yang juga musim persarangan tuntung di sungai berkenaan.

Kesannya mula dilihat apabila jumlah kutipan telur tuntung sungai yang dilakukan Pusat Penetasan Tuntung di Kampung Pasir Gajah, Kemaman menurun sejak ia mula dilaksanakan pada tahun 2011.

Pengurus Projek Turtle Conservation Society of Malaysia (TCS), Dylan Wang berkata, kerja-kerja pemuliharaan tuntung itu adalah hasil usaha sama persatuan itu bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) dan penduduk kampung.

Tuntung yang mendarat untuk bertelur turut diperiksa.

Bagaimanapun, penggunaan tuba yang merupakan racun semula jadi yang digunakan bagi menangkap ikan dan udang air tawar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, kini mula mengancam populasi tuntung.

"Apa yang mengecewakan kami, aktiviti ini memuncak setiap awal tahun yang juga musim tuntung sungai bersarang. Bukan sahaja kesan daripada racun tuba, tuntung juga sensitif pada cahaya.

"Jadi, lampu malahan api rokok juga boleh menghalangnya daripada mendekati pesisir sungai untuk bertelur. Jika tidak ditangani segera, kita bimbang ia akan menjejaskan populasi tuntung yang semakin pupus,” katanya.

Udang galah mahal

Menurut Dylan, harga udang galah yang mahal menyebabkan ada sesetengah pihak mencari jalan singkat tanpa memikirkan kesan pada hidupan di Sungai Kemaman.

Beliau berkata, harga pasaran udang galah yang boleh mencecah RM70 sekilogram menyebabkan aktiviti itu diteruskan terutamanya pada waktu malam.

"Dalam kejadian beberapa hari lepas, pihak kami dan penduduk melihat banyak udang beralih ke tepi sungai dan gigi air. Kami teramat sedih dengan situasi ini kerana kita tahu sungai telah diracun.

"Racun yang digunakan itu biasanya menyebabkan udang galah mengalami pedih mata. Kadangkala kita boleh lihat udang melompat kerana tidak tahan dan pergi ke gigi atau tepi sungai.

"Penggunaan racun itu juga mengganggu habitat tuntung yang banyak di Sungai Kemaman.

"Kami dan penduduk kampung kutip udang itu, malah ada yang berjaya dapat sehingga lima kilogram.

"Bayangkan, bagaimana kesannya jika ia berterusan. Bukan sahaja udang, malah ikan dan tuntung sungai yang hampir pupus itu terkesan,” katanya.

Dylan dan petugasnya melakukan kerja-kerja mengukur tuntung.

Jelas Dylan, setiap tahun pihaknya terpaksa melaporkan kejadian tuba udang kepada Jabatan Perikanan Negeri Terengganu dan pihaknya juga mengambil beberapa botol sampel air sungai dan menyimpan udang tersebut sebagai bukti.

Kutipan telur tuntung menurun

Sejak kerja-kerja pemuliharaan tuntung dijalankan oleh Pusat Penetasan Tuntung di Kampung Pasir Gajah di sini, sebanyak 6,000 anak tuntung berjaya dieramkan dan dilepaskan ke Sungai Kemaman.

Bagaimanapun, ia dibimbangi akan terganggu susulan kutipan telur tuntung menurun saban tahun.

Pada peringkat permulaan kerja-kerja konservasi dilakukan, pihaknya dan penduduk kampung berjaya mengutip lebih 1,000 telur tuntung bagi setiap kawasan yang dikhaskan.

Telur tuntung dikutip untuk dieram dan menetas, sebelum dilepaskan kembali ke Sungai Kemaman.

"Sekarang ini kita ada lima, enam kawasan tapi nak dapatkan 500 biji sangat sukar. Untuk tahun ini sahaja, kita hanya dapat 400 lebih, tidak sampai 500 biji.

"Keadaan itu amat membimbangkan kerana jika berterusan, kita bimbang tuntung sudah tidak mahu bertelur di kawasan ini,” katanya.

Jelas Dylan, bagi memastikan survival tuntung sungai, dia dan penduduk Kampung Pasir Gajah khususnya, akan melakukan kerja-kerja mengutip telur tuntung untuk dieram dan ditetas, sebelum dilepaskan kembali ke sungai.

Selain itu, pihaknya juga akan menimbang berat dan mengukur saiz tuntung yang mendarat, selain melabel dan memasang mikrocip

"Telur tuntung ambil masa tiga bulan untuk menetas. Biasanya, setiap tahun kita akan adakan acara pelepasan anak tuntung ke sungai secara besar-besaran, bagi meraikan kejayaan kita menetaskan spesies terancam ini,” katanya.

Difahamkan, taburan tuntung sungai hanya direkodkan di Kedah, Perak dan Terengganu, dengan sebahagiannya di Sungai Kemaman (Pusat Penetasan Tuntung, Kampung Pasir Gajah) dan tapak pemuliharaan di Pusat Konservasi Tuntung di Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Gesa penguatkuasaan tegas

Bagi membendung masalah tuba itu, Dylan berkata, pihaknya mencadangkan agar satu sesi dialog diadakan antara pihak Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Perhilitan dan penduduk setempat untuk bersama-sama mencari kata sepakat.

Ia bagi memastikan bekalan udang dan ikan di sungai itu adalah selamat untuk dimakan, serta tidak mengganggu proses persarangan tuntung di dalam sungai.

"Saya juga mengharapkan pihak berkuasa terutamanya daripada Jabatan Perikanan agar meningkatkan rondaan di sepanjang Sungai Kemaman agar kita dapat kawal dan membendung aktiviti tidak bertanggungjawab ini.

"Selain itu, kita juga ambil pendekatan bekerjasama dengan penduduk kampung untuk melaporkan sebarang kejadian tuba dan individu yang mencurigakan di kawasan ini,” kata beliau.

Jabatan Perikanan Negeri Terengganu turun padang meninjau aduan kejadian tuba di Sungai Kemaman.

Bagi memastikan populasi tuntung meningkat di Sungai Kemaman, TCS mengambil pendekatan melatih penduduk tempatan khususnya di Kampung Pasir Gajah cara-cara penjagaan dan pemuliharaan tuntung.

Katanya, ia merupakan projek komuniti yang mana penduduk kampung dilatih membuat kerja-kerja lapangan termasuk mengutip telur tuntung dan terlibat sama dengan kerja-kerja melabel.

"Kita ajak orang kampung untuk terlibat sama dan menjaga ‘harta’ mereka ini. Jadi, mereka akan sayang dan tidak akan sewenang-wenangnya membiarkan orang luar datang mengambil dan merosakkan ‘harta’ mereka,” katanya.

Tuntung sungai yang cedera berjaya diselamatkan penduduk kampung.
Klik di sini untuk terus membaca