WAJAH lelaki berusia 91 tahun itu kelihatan tenang meskipun beliau sedang mengenangkan detik paling menakutkan sepanjang hidupnya. Satu demi satu patah perkataan dilontarkan dengan jelas dalam nada sederhana. Usia emasnya tidak sedikit pun... Klik di sini untuk terus membaca

WAJAH lelaki berusia 91 tahun itu kelihatan tenang meskipun beliau sedang mengenangkan detik paling menakutkan sepanjang hidupnya.

Satu demi satu patah perkataan dilontarkan dengan jelas dalam nada sederhana. Usia emasnya tidak sedikit pun menjejaskan susunan cerita yang disampaikan.

Dua hal yang membuatkan penulis kagum ialah daya ingatannya yang kuat dan tentunya tentang perkongsian kisah silamnya yang begitu mengujakan.

"Ketika itu nyawa ibarat di hujung tanduk. Komunis berleluasa. Sehinggakan saya sendiri ajar isteri gunakan senapang yang disimpan di rumah. Saya pesan jika berlaku apa-apa perkara, tembak saja.

"Kerana pada masa itu, jika saya keluar rumah belum tentu akan pulang.”

Itu antara petikan ceritanya. Beliau adalah Tan Sri Wan Mahmood Pa’Wan Teh yang kini merupakan Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM).

Sekali sekala anak matanya memandang ke luar, lari daripada memandang mata penulis mungkin kerana cuba mengingati setiap detik yang dikongsikan itu.

Wan Mahmood menyambung tutur katanya menceritakan apa yang dilaluinya kira-kira 50 tahun lalu iaitu ketika usianya hampir 40 tahun.

Usia emas tidak menjadi penghalang buat Wan Mahmood terus bersama masyarakat.

Beliau telah dihantar ke Sarawak untuk berkhidmat sebagai Setiausaha Kerja Sarawak Operation Council (SOC) dibawah Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang ditubuhkan susulan peristiwa hitam negara, 13 Mei 1969.

"Ketika itu semua negeri-negeri Malaysia sudah mengadakan pilihanraya umum (PRU) kecuali Sarawak. Jadi SOC mentadbir negeri Sarawak sepenuhnya selama dua tahun.

"Isteri dan anak-anak saya turut ikut bersama. Sebagai setiausaha kerja, saya juga bertanggungjawab atas perang saraf iaitu sering menulis dan uar-uarkan agar rakyat sokong usaha melawan komunis.

"Ini kerana penduduk di situ menganggap komunis itu sebagai penolong mereka. Apabila dia susah, komunis datang beri minyak cap kapak dan sebagainya. Wakil kerajaan tidak masuk ke dalam hulu Sarawak ketika itu,” katanya.

Tambah Wan Mahmood, pengaruh penulisan beliau yang agak kuat membuatkannya pernah ditegur oleh polis cawangan khas (SB) kerana dipercayai telah mempengaruhi semangat kaum Iban yang bertindak memancung kepala komunis yang ditemui ketika di hutan.

"Mereka pancung komunis dan letak kepala dalam guni kemudian dibawa ke balai polis membuatkan polis terkejut.

"Nasib baik apabila polis pergi semula ke hutan, polis tengok badan mayat ada senapang. Maknanya yang dibunuh itu benar komunis.

"Kuatnya pengaruh perang saraf itu kepada mereka sehingga kepala orang pun dicantas. Sebab budaya orang Iban masa itu, kelakian atau keberanian seseorang itu dibuktikan dengan berapa kepala dia dapat penggal,” katanya.

Detik cemas

Masih tentang komunis, anak ke-9 daripada 14 orang adik beradik ini turut berkongsi detik mencemaskan mengharungi sungai pada waktu malam pulang dari Kuala Rajang, Sibu selama empat jam kerana bertugas.

Katanya, ketika itu bot yang dinaiki terpaksa melalui bahagian tengah sungai sebagai langkah berjaga-jaga daripada serangan komunis.

"Kadang-kadang bila air surut, air sungai jadi deras dan lambat. Saya lihat dalam keadaan gelap, bot menyusuri sungai di bahagian tengah. Banyak kayu balak terapung

Usia emas tidak menjadi penghalang buat Wan Mahmood terus bersama masyarakat.

"Saya tanya mengapa tidak ketepi? Mereka kata tak boleh kerana nanti komunis tembak. Kadang-kadang terlanggar balak, bot macam nak terbalik. Jadi saya rasa 4 jam itu seperti 4 tahun dalam keadaan takut dan menggigil sejuk,” katanya.

Tambah Wan Mahmood dia hanya sedikit lega apabila tiba di Pekan Sibu yang terletak lebih 100 kilometer meskipun keadaan tidak begitu selamat.

"Ketika itu, Pekan Sibu juga tidak selamat. Kalau tidur di hotel mungkin kena bunuh oleh komunis.berdasarkan laporan yang saya dapat ketika itu, anggota polis pun menjadi mangsa bunuh komunis di mana mayat telah dipotong dan dibuang dalam tong sampah,”katanya.

Semangat Nasionalis

Berkongsi zaman beliau membesar, Wan Mahmood yang juga Orang Besar Daerah Gombak berkata, beliau telah diterapkan dengan nilai disiplin hidup yang begitu tinggi hasil didikan tegas ayahnyayang juga sebagai seorang majistret.

Katanya, disebabkan rumahnya ketika itu terletak sebelah mahkamah, sejak kecil juga beliau telah melihat bagaimana proses undang-undang berlangsung, dan orang kena tuduh (OKT) dibawa ke mahkamah dalam keadaan bergari.

"Saya rasa ajaran yang kekal dalam fikiran saya ialah ‘tidak ada satu warisan yang lebih bernilai yang dapat dicurahkan kepada anak-anak kita selain daripada kejujuran’. Jadi kejujuran itu diutamakan. Itu yang melekat di hati saya,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Mahmood yang juga Ahli Dewan Diraja Selangor berkata, beliau berpeluang memahami kitab Bible setelah mendapat pendidikan awal yang turut menjadikan kitab Bible sebagai salah satu mata pelajaran.

"Saya faham Bible. Tapi saya rasa didikan agama dahulu, tak banyak soal. Kita hanya berpegang (Islam) dengan cukup kuat. Saya tak pernah dengar orang Melayu tukar agama meskipun kita di sekolah yang ditadbir pihak kristian,”katanya.

Justeru kerana itu beliau mementingkan konsep penghayatan tentang agama Islam itu sendiri dan menyifatkan sistem pendidikan Islam perlu diubah agar lebih berkesan dan diberi perhatian khusus.

"Cuba tanya anak muda sekarang apa maksud setiap lafaz laungan azan lima waktu sehari. Mungkin mereka tidak tahu bahkan tidak menghiraukan pun azan kerana sibuk bercakap sedangkan ketika azan kita perlu diam dan dengar,” akhiri beliau.

Ketika menerima Penganugerahan Dato’ Paduka Raja Selangor pada tahun 1976 di Istana Alam Shah, Klang.

PROFIL

Nama Penuh: Tan Sri Wan Mahmood Pa’wan Teh

Tarikh Lahir: 18 Januari 1930

Tempat Lahir: Pahang

Asal: Kuala Lumpur

Pendidikan

Anglo School Tanjung Malim, Perak

Anglo Chinese School Kampar, Perak

Methodist Afternoon School, Kuala Lumpur

St John’s Institusi Kuala Lumpur.

Victoria Institution Kuala Lumpur

M.c.s Law Part I, Ii, Iii

Pengalaman

Bekas Pegawai P.t.d yang pernah berkhidmat sebagai

1. Penolong Pegawai Daerah Kuala Lumpur

2. Pegawai Daerah Sabak Bernam

3. Penolong Setiausaha Kerajaan Melaka

4. State Operations Committee Sarawak (Branch Of National Operation Committee)

5. Timbalan Ketua Pendaftaran Negara

6. Timbalan Setiausaha Kewangan, Kementerian Pertahanan

7. Timbalan Setiausaha, Kementerian Penerangan Malaysia

Anugerah

Dato’ Paduka Raja Selangor DYMM Sultan Selangor (State) 1974

Pegawai Bintang Sarawak, Kerajaan Negeri Sarawak 1976

Darjah Kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah DYMM Sultan Selangor (State) 2004

Tokoh KPPMS Kesatuan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (Association) 1998

Anugerah Tokoh Warga Emas Negara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (National) 2014

Panglima Setia Mahkota (Tan Sri) Yang di-Pertuan Agong Malaysia (National) 2012

DYMM Sultan Selangor merasmikan perhimpunan perwakilan PPKM di Concorde Hotel pada 7 Ogos 2014.
Klik di sini untuk terus membaca