SETIAP kali membuka aplikasi MySejahtera untuk mendaftar masuk ke sesebuah premis, berapa ramai antara kita yang membaca dengan teliti dan faham terma yang tertera pada aplikasi tersebut? Boleh dikatakan, penggunaan aplikasi berkenaan... Klik di sini untuk terus membaca

SETIAP kali membuka aplikasi MySejahtera untuk mendaftar masuk ke sesebuah premis, berapa ramai antara kita yang membaca dengan teliti dan faham terma yang tertera pada aplikasi tersebut?

Boleh dikatakan, penggunaan aplikasi berkenaan seolah-olah hanya mahu mengelakkan diri daripada dikompaun pihak berkuasa.

Sebenarnya adakah kita benar-benar jujur menanda kehendak dan syarat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)?

Adakah bekas pesakit Covid-19 atau kontak rapat mereka juga menanda ‘Ya’ pada ruangan berkenaan selepas membaca dua terma iaitu ‘Mengalami sebarang simptom Covid-19 (demam, batuk, sesak nafas, sakit tekak)’ dan ‘Berhubung rapat dengan pesakit Covid-19’?

Hakikatnya, ramai antara kita yang tidak ambil kisah dengan perkara itu kerana apa yang lebih penting adalah dapat memasuki premis tanpa gangguan atau panggilan daripada kementerian berkenaan.

Ada juga yang mahu bersikap jujur tetapi mereka mungkin lebih memikirkan keperluan mendapatkan barangan untuk keluarga. Justeru, mereka tutup mata dan menanda ‘Tidak’ sahaja.

Kita tidak boleh menuding jari kepada golongan ini kerana bekas pesakit atau kontak rapat selalunya masih trauma untuk mengaku pernah mengalami saat sukar itu.

Lebih menyedihkan, sesetengah bekas pesakit Covid-19 amat ‘ditakuti’ oleh orang sekeliling sehingga kempen mengubah stigma dan pandangan serong masyarakat terpaksa diadakan.

Mereka sanggup turun padang memberi ceramah selain sumbangan asalkan masyarakat faham bahawa menderita akibat Covid-19 bukan ‘penyebab kematian’ orang lain.

Justeru, marilah kita mendaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19 yang dijamin selamat dan halal selain tidak memberi kesan sampingan kepada badan.

Kita tidak perlu waswas. Paling penting, kita semua lebih yakin untuk menerima vaksin.

Sudah lebih setahun Malaysia berperang dengan Covid-19 membabitkan lebih 1,000 kematian, inilah masanya kita meletakkan harapan kepada dua vaksin yang sudah tiba di Malaysia bulan lalu.

Bukti jelas apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri menjadi orang pertama menerima vaksin Pfizer diikuti beberapa menteri lain termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Vaksin Pfizer dari Belgium tiba di Malaysia pada 20 Februari lalu manakala Sinovac dari China pada Sabtu.

Pfizer tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan Malaysia Airlines MH604 dengan menggunakan pesawat Airbus 330-300. Perjalanan yang dikendalikan oleh MABkargo Sdn Bhd (MASKargo) itu berlepas dari Lapangan Terbang Leipzig Halle ke Singapura dan Malaysia.

Sementara itu, vaksin Sinovac yang dihasilkan syarikat farmaseutikal di Beijing, Sinovac Biotech diuruskan Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd tiba dengan pesawat MH319.

Kita juga boleh meyakini vaksin Sinovac ini kerana Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar merangkap Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bersedia disuntik vaksin berkenaan.

Justeru, masyarakat ada pilihan dan tidak bergantung kepada satu jenis vaksin sahaja.

Bagaimanapun, besar harapan kedua-dua vaksin ini mampu memulihkan kehidupan rakyat seperti sebelum penularan wabak.

Kita boleh mendaftar melalui MySejahtera iaitu aplikasi rasmi kerajaan bagi pendaftaran vaksinasi melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Bagi mereka yang tiada aplikasi itu boleh mendaftar di laman web yang dibuka pada Mac ini dan mempunyai pautan ke dalam sistem aplikasi MySejahtera terbabit.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, hanya MySejahtera yang diiktiraf dan dikenal pasti sebagai saluran rasmi kerajaan bagi pendaftaran untuk mendapatkan vaksin.

Setakat ini, seramai 1.065 juta orang sudah berdaftar melalui aplikasi MySejahtera.

Apa pun jangan pula ada golongan antivaksin meneruskan agenda mereka menghalang penggunaan vaksin yang dianggap sebagai ‘pelangi’ selepas lebih setahun masyarakat dunia hidup dalam kebimbangan.

* Aswani Omar ialah Penyunting Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca