YANGON - Situasi di Myanmar semakin tegang dan meruncing sebulan selepas insiden rampasan kuasa yang menggulingkan pemerintahan awam yang sah pada 1 Februari lalu.
Tindakan kekerasan juga semakin berleluasa apabila pasukan keselamatan mula menggunakan tembakan peluru hidup terhadap penunjuk perasaan prodemokrasi sejak beberapa minggu lalu yang dipercayai meragut sekurang-kurangnya 21 nyawa.
Insiden keganasan kembali tercetus pada Ahad selepas kumpulan pelajar perubatan berarak di jalan utama di Yangon yang menjadi titik pertemuan peserta protes.
Rakaman video dan gambar memaparkan keadaan huru-hara di kira-kira tiga bandar selepas penunjuk perasaan bertempur dengan pasukan keselamatan malah peserta protes terbabit turut mendirikan sekatan sendiri untuk menghalang kemaraan pihak berkuasa.
"Myanmar seperti medan perang,” kata Kardinal Katolik pertama, Charles Maung Bo menerusi Twitter.
Di kawasan lain, ratusan lagi peserta protes ditahan pasukan keselamatan yang berterusan menggunakan semburan meriam air, bom asap, tembakan gas pemedih mata dan peluru hidup secara meluas sejak beberapa minggu lalu.
Gerakan antirampasan kuasa itu bagaimanapun tetap tidak berganjak dan mereka tetap kembali berhimpun tanpa menghiraukan amaran keras pasukan keselamatan.
"Tindakan kekerasan yang semakin dipertingkatkan di beberapa bandar di seluruh negara menyasarkan penunjuk perasaan sememangnya keterlaluan dan tidak boleh diterima. Ia perlu dihentikan segera.
"Tembakan peluru hidup tidak sepatutnya digunakan untuk menyuraikan atau mengawal demonstrasi. Dunia memerhati tindakan pemerintah junta tentera dan akan memastikan mereka bertanggungjawab,” tegas Timbalan Pengarah untuk Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW) di Asia, Phil Robertson.
Taktik lebih keras
Pada Sabtu, pasukan keselamatan didakwa mula menggunakan taktik lebih keras untuk menyuraikan tunjuk perasan dan menahan ratusan lagi individu yang kemudiannya ditempatkan di Penjara Insein di pinggir utara Yangon.
Minggu lalu, pemimpin junta, Jeneral Min Aung Hlaing berkata, pasukan keselamatan kononnya bertindak secara tidak keterlaluan terhadap peserta protes.
Tetapi, kenyataan itu ternyata bercanggah apabila seorang wartawan yang membuat liputan insiden keganasan itu turut dipukul anggota keselamatan dan ditahan di Myitkyina manakala seorang lagi petugas media ditembak dengan peluru getah di bandar Pyay.
Data Persatuan Bantuan Tahanan Politik menunjukkan lebih 1,000 telah ditahan.
Ketika ini, negara antarabangsa terus mengecam pemerintah junta tentera malah Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan kuasa dunia lain menyelar tindakan kekerasan yang digunakan ke atas penunjuk perasaan yang mengadakan demonstrasi secara aman.
PBB turut mengutuk tindakan kekerasan yang semakin bermaharajalela di Myanmar.
"Kami mengecam sekeras-kerasnya insiden keganasan tersebut dan menggesa tindakan tidak berperikemanusiaan itu segera dihentikan. Rakyat Myanmar berhak untuk berhimpun secara aman dan menuntut pemulihan demokrasi.
"Hak asasi ini perlu dihormati anggota polis dan tentera. Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan tindakan kekerasan yang mencetuskan pertempuran berdarah. Komuniti antarabangsa perlu menzahirkan solidariti dengan penunjuk perasaan yang mahu mengembalikan semula demokrasi,” ujar jurucakap pejabat hak asasi manusia PBB, Ravina Shamdasani.
Sementara itu, Ketua Pejabat Hak Asasi Manusia PBB, Michelle Bachelet juga mengulangi gesaan supaya membebaskan kesemua tahanan termasuk pemimpin awam yang ditahan sejak empat minggu lalu. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca