TANPA disangka-sangka, Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah menzahirkan pandangan pada 24 Februari bahawa Parlimen boleh bersidang semasa... Klik di sini untuk terus membaca

TANPA disangka-sangka, Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah menzahirkan pandangan pada 24 Februari bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa.

Perkembangan ini berkait rapat dengan ketibaan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNtech pada 24 Januari lalu dan permulaan proses suntikan kepada rakyat yang dimulakan dengan petugas barisan hadapan melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Walaupun ada desakan dipercepatkan namun tiada sidang Dewan Rakyat diadakan pada 8 Mac ini seperti yang tertera di dalam takwim di laman web Parlimen Malaysia.

Ini membawa beberapa perspektif kepada pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin yang genap setahun sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac 2021.

Kritikan menimpa Muhyiddin bila proklamasi darurat diisytiharkan awal Januari lalu kononnya sebagai strategi untuk memanjangkan lagi tempoh hayatnya sebagai Perdana Menteri.

Ketika berucap menyampaikan Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin yang disiarkan secara langsung melalui media dan media sosial rasmi kerajaan pada Isnin, Muhyiddin menepis dakwaan tersebut.

Muhyiddin berkata, tidak ada satu daripada ordinan darurat yang bertujuan untuk membolehkan Perdana Menteri kekal berkuasa selama-lamanya.

"Kesemua ordinan ini adalah bertujuan untuk membolehkan kerajaan menangani pandemik Covid-19 dengan lebih cekap dan berkesan, termasuk menambah baik pengurusan penginapan pekerja asing yang menjadi antara punca utama penularan Covid-19 di negara kita,” katanya.

Ramai percaya Muhyiddin berdepan situasi yang cukup genting terutama apabila bekas partinya, UMNO sudah tidak berselindung lagi mengisytihar akan bertanding semua kerusi, termasuk yang dimenangi Bersatu.

Bermakna, tiada kompromi sama sekali pada pilihan raya umum akan datang.Jadi apakah yang boleh kita jangkakan bila sidang Dewan Parlimen dibuka semula? Apakah akan ada episod coup d’etat atau langkah ‘pintu belakang’?

Sidang Dewan Rakyat adalah medan paling tepat untuk ahli Parlimen bagi memastikan suara rakyat didengari dan mendapat pembelaan sewajarnya.

Antara isu negara yang perlu dirungkai oleh pentadbiran Muhyiddin sebelum ditanya bertubi-tubi di Parlimen ialah isu pengangguran. Impak Covid-19 telah mengakibatkan ekonomi negara merudum sehingga menyebabkan kadar pengangguran begitu tinggi akibat dibuang kerja dan sebagainya.

Pengangguran di Malaysia meningkat kepada 772,900 orang pada kadar 4.8 peratus pada Disember 2020, demikian menurut perangkaan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia.

Guna tenaga dalam industri berkaitan pelancongan seperti penginapan dan perkhidmatan makanan, pengangkutan dan penyimpanan, kesenian, hiburan dan rekreasi terus merosot yang mencerminkan kesan pandemik kepada industri berkenaan.

Ketika pelbagai insentif diperkenalkan, bantuan diumumkan bagi membantu majikan supaya dapat mengekalkan pekerjaan, isu sebenar kehilangan mata pencarian adalah masalah yang angkanya masih meningkat bulan ke bulan.

Rakyat mahu lihat tindakan afirmatif dalam soal pengangguran. Yang hilang kerja, yang baru graduan tanpa konvokesyen dan sebagainya. Ini termasuk persoalan pekerja asing.

Pekerja asing

Benar, perdebatan soal hilang kerja dan keperluan pekerja asing sudah berlaku sejak zaman berzaman. Rakyat kita hilang kerja dalam segmen industri perkhidmatan seperti restoran, penerbangan, pelancongan dan banyak lagi.

Pekerja asing pula kebanyakannya dalam segmen perkilangan. Pada sesetengah rakyat, pekerja asinglah yang ‘menyumbang’ kepada angka besar kes positif Covid-19 sejak Disember lalu bila terbongkar penularan di kawasan kediaman yang dikhaskan oleh majikan masing-masing.

Nampak sangat majikan dalam sektor perkilangan bersikap sambil lewa dalam isu membabitkan pekerja asing. Bagaimana sebenarnya mereka menjaga kebajikan pekerja asing ini? Tapi yang kita ngeri, satu demi satu pekerja asing didapati positif Covid-19. Kalau ini ditakrifkan sebagai ‘menjaga dengan baik kebajikan’ tetapi meletup begitu banyak kes positif Covid-19, hal ini perlu diberikan perhatian.

Malah menjadi teka-teki pula bila terbaca laporan media Bangladesh dua minggu lepas yang mendakwa ada perbincangan Menteri Sumber Manusia Malaysia dengan rakan sejawatannya di Bangladesh untuk membawa masuk lagi pekerja dari negara itu.

Serius? Masa Covid-19 ini ketika rakyat kita tiada pekerjaan? Nak bawa masuk lagi pekerja Bangladesh?

Satu lagi isu ialah harga petrol. Selama empat minggu berturut-turut harga minyak meningkat dengan Jumaat lepas RON95 menjadi RM2.05 seliter. Tidak apa, sebab ramai work from home. Beli makanan pun from home.

Mungkin saya seorang rasa cemas sebab tergolong dalam kategori must work in the office, maka terpaksalah menanggung harga minyak naik setiap minggu.

Semua tahu harga petrol bila naik, akan mendorong benda-benda lain naik sama. Sudahlah perit hidup dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kini kena tanggung azab kesan harga minyak.

Rakyat perlu diyakinkan bahawa kenaikan ini tidak akan menambah derita kita yang menanti giliran suntik vaksin berbulan-bulan, berbanding VIP di Putrajaya yang dapat lebih awal.

Jumaat lepas, keluar kenyataan media Kementerian Kewangan bahawa ia telah mencapai persetujuan Kumpulan Ambank untuk membayar balik RM2.83 bilion kepada kerajaan, dana yang berkait dengan isu 1MDB. Tidak tahulah apa akhiran 1MDB yang telah menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2018 ini.

Tetapi pada Januari, Malaysia mengelonsor enam tangga untuk duduk di tangga ke-57 Indeks Persepsi Rasuah Dunia. Faktor yang menyebabkan negara terperosok ialah maklumat terhad mengenai hal-hal kepentingan awam, skandal daging tidak halal, pembongkaran dan pendakwaan pegawai awam atas tuduhan salah guna kuasa dan rasuah.

Sekolah

Apakah hanya orang yang ada anak di bangku sekolah dapat menyelami keluh-kesah ibu bapa mengenai dasar persekolahan negara semasa Covid-19 ini?

Dibeli komputer riba, secara hutang dengan ah long pula, tiba-tiba diumum sekolah dibuka. Diperkenal stesen televisyen khas pendidikan, pun macam tergesa-gesa apabila guru yang tampil mengajar seolah-olah tiada skrip.

Apa kesudahan kepada anak-anak kita yang hilang setahun pengajian pada 2020? Apa cerita anak-anak kita yang masuk Tahun Dua, apakah kurikulum Tahun Satu diulang atau terus jalan saja? Ini kita hendak tahu.

Isu-isu di atas seolah-olah membentangkan kritikan kepada pentadbiran Muhyiddin. Mungkin benar jika dilihat dari kaca mata kasar. Harus ditekankan bahawa isu-isu di atas adalah dekat di hati dan menjadi perbualan rakyat di kedai kopi dan media sosial.

Mohon pentadbiran Muhyiddin dapat menjawab persoalan yang dibentangkan ini di Dewan Rakyat kelak agar hati rakyat menjadi lebih tenang selepas mendapat sinar baharu daripada vaksin untuk mengakhiri pandemik yang banyak mengubah kehidupan mereka.

Klik di sini untuk terus membaca