MERAK Jalanan bukanlah peminat tegar haiwan peliharaan tetapi nampaknya semakin ramai orang yang tidak berperikemanusiaan dan berhati kejam.
Itulah rumusan Merak Jalanan selepas Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) minggu lepas mendedahkan sebanyak 278 kes kekejaman terhadap haiwan direkodkan sejak 2018 hingga tahun lalu.
Anjing dan kucing adalah yang paling tinggi menjadi mangsa kekejaman. Ada juga kes berpunca daripada perbuatan membuang kucing peliharaan.
Merak Jalanan tak terkejut kalau ada yang ramal kita bakal menghadapi krisis kucing terbuang.
Ramai pencinta kucing sekarang adalah jenis ikut-ikutan. Mereka bela kucing untuk suka-suka. Tengok jiran atau kawan bela kucing, mereka nak bela juga.
Tapi mereka berkira hendak suntik vaksin. Bila kucing sakit, mereka tak mampu bawa ke klinik haiwan.
Merak Jalanan faham, kos untuk bela kucing ini mahal. Sekali bawa ke klinik boleh habis beratus-ratus ringgit.
Seorang pencinta kucing beritahu Merak Jalanan, dia keluarkan kos hingga RM2,000 sebulan kalau ada dalam kalangan 30 ekor kucing miliknya sakit.
Itu belum lagi makanan kucing yang makin mahal. Akhirnya mereka akan abai atau buang kucing mereka.
Buang kucing nampak macam hal kecil. Kita fikir, kalau buang kucing di pasar atau dekat kedai makan pasti ia tidak akan mati kebuluran.
Namun jangan ambil mudah. Perbuatan inilah yang menjadi punca kekejaman ke atas haiwan.
Dalam hal buang haiwan peliharaan ini, bukan kucing sahaja yang terlibat.
Banyak juga haiwan eksotik lain seperti ikan dan kura-kura yang dibuang ke longkang, tasik atau sungai disebabkan pemiliknya tak mampu nak jaga kerana haiwan tersebut semakin membesar.
Ini ibarat habis madu sepah dibuang. Sudahnya, spesies asing itu merosakkan ekosistem kita pula.
Klik di sini untuk terus membaca