SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengesahkan berlakunya kenaikan harga makanan ternakan sehingga empat hingga lima peratus. Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengesahkan berlakunya kenaikan harga makanan ternakan sehingga empat hingga lima peratus.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, kenaikan itu berdasarkan maklum balas pemain industri dalam penternakan dan persatuan pengilang makanan ternakan.

"Kenaikan harga makanan ternakan dipengaruhi oleh kenaikan harga komoditi bahan mentah utama makanan ternakan yang diimport sepenuhnya.

"Seperti jagung yang telah meningkat sebanyak 15.2 peratus kepada RM1,100 satu tan pada November berbanding RM955 satu tan pada April tahun lalu.

"Dan kacang soya yang telah meningkat sebanyak 9.4 peratus kepada RM2,100 satu tan pada November berbanding RM1,920 satu tan pada April tahun lalu,” katanya menerusi satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Menurut Che Abdullah, harga bahan mentah makanan ternakan ditentukan oleh harga pasaran komoditi dunia.

Selain itu, katanya, terdapat juga tiga faktor lain iaitu pertama, Malaysia masih bergantung kepada pengimportan bahan mentah utama makanan ternakan seperti jagung bijian dari Argentina dan Brazil.

"Kedua, pengeluaran jagung bijian tempatan masih belum mencapai keperluan komersial pengilang dari segi kuantiti dan kualiti.

"Ketiga, tiada bahan mentah gantian yang bersesuaian bagi bahan mentah utama yang digunakan dalam makanan ternakan terutamanya untuk makanan unggas seperti ayam pedaging dan penelur,” katanya.

Che Abdullah berkata, MAFI akan membuat satu pelan cadangan intervensi di mana kerjasama strategik antara pelbagai jabatan dan agensi di bawahnya bersama pemain industri bagi meningkatkan pengeluaran jagung bijian tempatan secara komersial.

"Dan kajian lebih menyeluruh berkaitan kos rawatan penyakit serta meningkatkan kualiti jagung bijian tempatan yang kos pengeluarannya dapat memenuhi keperluan pengilang makanan ternakan,” katanya.

Beliau berkata, antara cadangan intervensi lain adalah mendapatkan sumber bekalan bahan mentah makanan ternakan dari negara jiran seperti Indonesia dan Thailand berbanding Brazil dan Argentina bagi mengurangkan kos logistik.

Katanya, pelan lain adalah dengan mempergiat usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan bagi menghasil dan memperkenalkan bahan mentah gantian yang bersesuaian dalam penghasilan makanan ternakan khususnya untuk makanan ayam (pedaging dan penelur).

Sinar Harian pada Rabu melaporkan mengenai rungutan penternak di Malaysia yang bimbang dengan kenaikan harga dedak sehingga lebih enam kali sejak lebih setahun lalu.

Klik di sini untuk terus membaca