BERMULA 20 Februari lepas dengan tibanya kumpulan pertama vaksin Covid-19 yang dihasilkan Pfizer-BioNTech, cakap-cakap dalam kalangan anggota masyarakat lebih berkisar kepada keberkesanan vaksin serta pelbagai isu sampingan lain.
Tidak kurang juga kumpulan yang bersikap pesimis dengan ketibaan vaksin serta program imunisasi yang telah dirancang kerajaan khususnya menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia.
Namun, ia bukanlah halangan untuk program vaksinasi ini diteruskan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri menjadi individu pertama yang menerima suntikan vaksin ini diikuti dengan petugas barisan hadapan serta pihak lain menerusi tiga fasa yang telah dirancang.
Sekalipun vaksin telah ada dan mula digunakan terhadap sebahagian anggota masyarakat, namun rakyat tidak boleh alpa dengan mengabaikan aspek keselamatan diri, keluarga dan persekitaran supaya usaha untuk mengatasi jangkitan ini dapat dikurangkan sekali gus meletakkan ekonomi negara kembali ke landasan yang sepatutnya.
Covid-19 merupakan hazard di bawah kategori hazard biological yang mana hazard bermaksud sumber yang berpotensi menyebabkan kecederaan dan penyakit.
Secara amnya, risiko bermaksud kesan ketidakpastian manakala risiko kesihatan dan keselamatan pekerjaan adalah kombinasi kebarangkalian kejadian peristiwa atau pendedahan berbahaya dan keterukan kecederaan, atau penyakit yang boleh disebabkan oleh peristiwa atau pendedahan tersebut.
Risiko sering dicirikan dengan merujuk kepada peristiwa yang mungkin berlaku dan akibatnya atau gabungan kedua-duanya.
Kaedah dan kriteria penilaian risiko hendaklah bersesuaian dengan jenis hazard. Bagi penilaian risiko terhadap Covid-19, metodologi hendaklah proaktif berbanding reaktif dan digunakan dengan cara yang sistematik.
Susur galur kawalan yang paling berkesan adalah dengan menghapuskan hazard tersebut. Menggantikan proses, operasi, bahan atau peralatan agar dapat mengurangkan risiko jangkitan perlu ditekankan.
Kita telah saksikan sebelum ini, sebahagian peningkatan jumlah jangkitan berlaku di tempat kerja terutama kilang pembuatan dan tapak binaan. Justeru, majikan perlu lebih bertanggungjawab dalam membuat penilaian risiko masing-masing di samping mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
Kerjasama semua pihak boleh melandaikan lengkuk Covid-19 dan menurunkan kadar R-naught kurang daripada 1.0. R-naught (R0) merujuk kepada kadar kebolehjangkitan sesuatu wabak dalam masyarakat.
Vaksinasi Covid-19 yang diberikan mampu mengurangkan kebarangkalian jangkitan dan program imunisasi kebangsaan perlu dilaksanakan dengan sistematik bagi membentuk imuniti kelompok.
Sekalipun kita telah menerima vaksin, namun kita tidak boleh leka dan bersikap sambil lewa.
Pematuhan SOP hendaklah diteruskan terhadap semua peringkat sekalipun kita tidak lagi berada dalam perintah kawalan pergerakan (PKP)
Penguatkuasaan pematuhan SOP perlu lebih tegas dan konsisten namun segalanya bermula dalam kalangan masyarakat sendiri dan setiap anggota mempunyai peranan dalam mematuhi segala SOP yang digariskan kerajaan.
Kita pastinya tidak mahu melihat wabak ini berterusan untuk jangka masa panjang walaupun penganalisis menjangkakan bahawa ia tidak dapat diselesaikan dalam masa yang singkat.
Bagaimanapun, kita pernah melihat angka jangkitan menurun hingga ke tahap angka tunggal dan tidak mustahil kita mampu mencapai kembali angka tersebut jika semua rakyat memberi kerjasama. Bersama kita berganding bahu. Kita mampu menang.
* Aziz Basiran ialah Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Industri Malaysia (MiSHA)
Klik di sini untuk terus membaca