SHAH ALAM - [LAPORAN KHAS] Stigma masyarakat yang masih memandang negatif terhadap bekas banduan menjadi kekangan besar untuk golongan itu kekal menjadi individu yang sudah berubah menjadi lebih baik. Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - [LAPORAN KHAS] Stigma masyarakat yang masih memandang negatif terhadap bekas banduan menjadi kekangan besar untuk golongan itu kekal menjadi individu yang sudah berubah menjadi lebih baik.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Jerald Joseph berkata, halangan itu akan terus berlaku meskipun bekas-bekas banduan telah dibekalkan dengan tahap keyakinan yang tinggi menerusi proses pemulihan yang dilalui mereka ketika menjadi tahanan.

Menurutnya, lebih menyukarkan bekas banduan adalah stigma pihak syarikat yang sepatutnya memberi peluang lebih besar untuk mereka mengubah hidup.

"Ini amat menyedihkan. Tanpa kegiatan ekonomi sukar untuk mereka teruskan hidup dan boleh menyebabkan mereka terjebak semula dan kembali mengulangi kesilapan lampau.

"Jadi kita perlu ada sistem agar beri mereka peluang lebih luas dan jangan menyebabkan mereka putus asa. Kerajaan mesti mengadakan program-program sokongan untuk termasuk memberi insentif kepada syarikat-syarikat yang boleh ambil banduan bekerja.

"Kesedaran kepada masyarakat juga perlu disebar luas supaya tidak terlalu negatif terhadap bekas banduan. Tanpa sokongan masyarakat sukar untuk mencari model yang berjaya,”katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Jerald menjelaskan, individu yang menjalani hukuman dalam penjara telah mendapat hak dengan melalui proses pemulihan daripada pelbagai aspek yang membantu mereka mencipta kejayaan setelah mereka melangkah keluar.

"(Pemulihan) dalam penjara mempunyai beberapa peringkat dengan mengambil kira dari segi perangai serta nilai-nilai murni yang ada pada banduan.

"Dari hari pertama mereka perlu cuba tenangkan diri perbaiki nilai-nilai serta menambah baik disiplin. Mereka mempunyai gred pemarkahan untuk memastikan mereka di tahap mana supaya mereka lebih stabil dan bersedia.

"Pembaikan diri sendiri adalah elemen utama dengan diberi sokongan mendalami agama. Selain itu, mereka juga dibekalkan dengan kemahiran praktikal sehingga membolehkan mereka bekerja dan menjana pendapatan dalam tempoh tahanan,”katanya.

Klik di sini untuk terus membaca