SUNGAI PETANI - [LAPORAN KHAS] Saat mendapat perkhabaran boleh dibebaskan dari penjara, bekas banduan paling lama di penjara yang menjalani hukuman sepanjang hayat dan enam sebatan ini pengsan kerana terkejut.
Zakaria Man, 65, berkata, dia tidak menyangka dibebaskan pada 17 Januari 2016 kerana beberapa permohonan rayuannya sebelum ini ditolak.
Menurutnya yang sudah 39 tahun menjadi penghuni penjara, permohonannya telah diterima oleh Jemaah Pengampunan Kedah pada Januari 2016.
"Bagai mati hidup semula selepas mendapat tahu saya akan dapat dibebaskan.
"Saya keluar sebatang kara, tiada harta atau wang ringgit tetapi membawa keluar bersama ilmu yang dicurahkan agar mampu membawa diri sehabis baik dalam masyarakat," katanya.
Menceritakan detik dia ditangkap, Zakaria yang lebih mesra dipanggil Pak Ya berkata, dia ditangkap pada tahun 1977 kerana terlibat dalam rompakan menggunakan senjata api di sebuah kilang padi di Air Hitam.
Dia kemudian didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar pada tahun 1980.
Hati remaja berusia 21 tahun itu memberontak biarpun sebelum ini pernah dipenjarakan lapan kali atas kesalahan mencuri dan lain-lain sejak berusia 17 tahun.
"Bila dapat tahu dikenakan hukuman sepanjang hayat, saya tak dapat terima walaupun penjara ni dah jadi macam rumah saya.
"Saya memberontak dan pernah terfikir untuk bunuh diri sebab dikelilingi tembok besi serta beranggapan tiada harapan untuk terus hidup.
"Saya dan kawan banduan pernah merancang untuk melarikan diri beberapa kali, namun gagal apabila sering 'kantoi' kerana kawalan keselamatan yang ketat," katanya.
Menurut Pak Ya, nasihat demi nasihat yang dititipkan petugas penjara membuatkan dirinya insaf dan cuba menyesuaikan diri.
Pak Ya yang sebelum itu buta huruf serta tidak pernah bersekolah mula mengikuti kelas pembelajaran dan pengajian al-Quran.
"Saya mula belajar ABC dan mengaji, saya tak reti membaca sebab masa kecil tak pergi sekolah kerana terpaksa keluar menoreh getah sebab nak cari duit.
"Bila ada geng 'sekepala' saya mula belajar mencuri dalam kampung, sehinggalah meningkat remaja, pergerakan makin menjadi-jadi.
"Bagaimanapun, kegagalan merompak kilang padi bersenjatakan pistol membuatkan saya tertangkap dan dihukum penjara seumur hayat," jelasnya.
Kehidupan di dalam penjara membuatkan Pak Ya mula mendekatkan diri mendalami agama.
"Dengan kesungguhan dan kesabaran dalam menuntut ilmu, saya fasih membaca dan mahir mengaji sehinggakan sudah tiga kali khatam al-Quran.
"Saya bertaubat dan mula berazam untuk jadi lebih baik kerana sudah insaf serta mahu menebus kembali dosa-dosa lampau," katanya.
Beliau mengambil peluang menyampaikan dakwah sehingga berjaya menarik lima rakan lain mengucap syahadah dan ikrar masuk Islam.
Atas kesungguhan itu, Pak Ya terpilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah dan Anugerah Penghuni Penjara Terbaik Pokok Sena
Selepas dibebaskan dari penjara, dia kemudian dijodohkan dengan Saodah Rashid, 40, pada November 2016 dan kini menetap di rumah yang didirikan Lembaga Zakat Negeri Kedah di tanah milik keluarga isteri dekat Kampung Charuk Bakap, Parit Panjang, Baling.
Sementara itu, Saodah berkata, sejarah hitam yang dilalui suami langsung tidak memudarkan kasih sayang antara mereka, malah tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa digalas Zakaria sebaik mungkin.
"Mungkin jodoh kami bersama membuatkan saling melengkapi antara satu sama lain," katanya.
Saodah berkata, sekiranya masa terluang, Zakaria akan memastikan mempunyai masa berjemaah di surau setiap kali solat fardu.
"Pak Ya sekarang ini sedang mengumpul duit bagi menunaikan nazar mengerjakan umrah yang telah diniat sejak di penjara, disebabkan itu, dia rela melakukan pelbagai kerja bagi menampung keluarga dan menambah simpanan," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca