BARU-BARU ini heboh bagaimana seorang ahli Yang Berhormat menceritakan tentang pertolongan yang beliau hulurkan (tak banyak cuma RM300 sahaja) kepada seorang wanita yang muncul di hadapan pusat khidmatnya dalam keadaan kelaparan dan memohon bantuan.
Kemunculan kisah tersebut dalam Facebook YB berkenaan telah mencuri perhatian ramai.
Ada yang menyoal, ada yang mempertikaikan dan ada yang memuji pertolongan yang dihulurkan YB berkenaan. Malah, ada yang mengkritiknya sebagai publisiti murahan.
Mereka berkata, ramai lagi YB yang menghulurkan macam-macam bantuan tapi tidak pernah heboh dan kecoh pun.
Bagi Belalang, ini semua adalah fenomena zaman media sosial. Sebelum kewujudan media sosial, budaya menceritakan apa yang kita lakukan adalah sesuatu yang asing.
Untuk apa menceritakan kebaikan yang kita buat, nanti jatuh riak. Tapi dalam era ledakan maklumat ini, menceritakan aktiviti harian seseorang sama seperti satu kewajipan. Seolah-olah satu tuntutan, satu budaya.
Belalang mengenali seorang YB yang telah berkhidmat lebih 38 tahun sebagai wakil rakyat tetapi tidak pernah mengheboh-hebohkan apa yang beliau telah lakukan untuk masyarakat, namun masyarakat tetap mengetahuinya menerusi cakap-cakap di kedai kopi dan dari mulut ke mulut.
Beliau adalah wakil rakyat dalam erti kata yang sebenar. Beliau menghulurkan bantuan tanpa mengira kaum, darjat dan pangkat atau fahaman parti mahupun agama.
Pernah beliau menolong seorang pelajar Cina miskin sehingga dia menjadi doktor yang berjaya. Setiap kali pulang ke kampung, budak Cina ini akan pasti singgah menemui YB berkenaan dan memeluknya bagaikan bapanya sendiri.
YB ini juga pernah menolong meringankan kos rawatan seorang pesakit kanser. Dan semua orang tahu jumlah kos yang beliau hulurkan sangat besar, bukan RM300. Pesakit itu yang bukan daripada bangsanya sendiri tidak pernah ketinggalan untuk berkempen bagi pihak YB berkenaan dalam setiap pilihan raya umum setelah dia pulih daripada kanser.
Dan walaupun pada era ledakan media sosial ini, beliau masih lagi berkhidmat sebagai seorang YB, tidak pernah sekali pun beliau memuat naik apa yang telah dilakukannya untuk masyarakat di Facebook, Instagram mahupun mana-mana platform media sosial.
Beliau tidak pernah mengheboh-hebohkan atau membesar-besarkan apa yang telah beliau lakukan untuk rakyat. Dan bila ditanya kenapa, beliau sekadar menjawab; "Tangan kiri tidak patut tahu apa yang tangan kanan hulurkan...”
Mereka memanggilnya ‘YB untuk semua’. Dan YB ini adalah seorang YB UMNO.
Belalang - Hulurkan tangan mendoakan yang baik-baik untuk mereka yang telah berjasa.
Klik di sini untuk terus membaca