PERKEMBANGAN ilmu teknologi baharu iaitu teknologi penerangan dan perhubungan, telah berlaku dalam jangka masa yang pendek sekali dibandingkan dengan era pertanian dan perindustrian sebelumnya.
Perkembangan teknologi baharu ini telah membawa banyak kemajuan sebagai ilmu alat untuk manusia dalam membangunkan kehidupan dalam dunia moden.
Namun dalam masa sama, kehadiran teknologi yang begitu mendadak menyebabkan banyak berlakunya tekanan dalam kehidupan fizikal dan mental manusia, nilai kekeluargaan, perubahan cuaca, kepadatan penghuni dunia, keperluan makanan dan air bersih untuk minuman.
Dengan kejutan ini juga, terdapat segelintir golongan manusia yang pada umumnya akan menjadi makhluk yang sombong dan ego, tanpa perlukan Tuhan dan agama, malah manusia sejagat sejak zaman kanak-kanak lagi akan menjadi manusia yang hanya mementingkan diri sendiri, tanpa menyedari dan menghayati nilai-nilai hidup bersama dalam masyarakat dan negara.
Dalam konteks jiwa kesombongan dan keegoan ini, sayangnya anggota masyarakat Islam hanyalah merupakan masyarakat pengguna bukan pencipta teknologi itu, tambahan pula suasana di sekeliling mereka sekarang ditambah lagi dengan sikap dan kefahaman yang sempit tentang agama dan Islam secara holistik, maka amatlah ditakuti bahawa generasi muda Islam sendiri akan menyeleweng daripada penghayatan Islam sebagai cara hidup yang sempurna.
Maka dalam menghadapi cabaran getir inilah, umat Islam amat memerlukan satu revolusi perubahan akal dan pemikiran yang dinamik bagi membentuk satu generasi baharu umat semasa, yang dapat menguasai dan menghayati segala ajaran agama dalam bentuk spiritual dan fizikal.
Malah dalam kalangan umat Islam sendiri, mungkin akan melahirkan generasi baharu yang lebih banyak di pengaruhi oleh budaya asing dan warisan yang tidak terlibat dengan para ilmuwan dan intelektual Muslim seperti yang berlaku pada zaman kegemilangan Islam sendiri pada satu ketika dahulu.
Isu pembentukan generasi dan proses pembangunannya sering disebutkan dalam al-Quran, ketika kitab suci Islam itu banyak menyebut tentang zuriat manusia ini, umpamanya tentang zuriat Nabi Adam iaitu keturunan dan salasilah Nabi Adam sehinggalah ke zaman Nabi kita Muhammad SAW yang disebutkan oleh ALLAH SWT tentang kelahiran generasi moden.
ALLAH SWT berfirman, yang bermaksud: "Mereka itulah orang-orang yang telah diberikan nikmat oleh ALLAH (iaitu) Nabi-Nabi daripada keturunan Adam, dan daripada orang yang Kami bawa bersama-sama Nuh, dan daripada keturunan Ibrahim dan Israel, dan lagi daripada orang yang telah Kami berikan petunjuk dan yang Kami pilih. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat ALLAH Al-Rahman, mereka segera sujud dan menangis.” Surah Maryam (19) Ayat 58.
Ringkasnya isu pembangunan manusia Muslim ini telah dikaji oleh para cendiakawan Islam sendiri yang kesimpulannya menunjukkan di antara lainnya bahawa generasi baharu umat Islam pada umumnya mengalami kehilangan arah tuju dan objektif hidup ini ialah kerana:
1) Pemikiran yang terhad akibat tekanan, juga indoktrinasi melampau daripada beberapa kalangan pimpinan masyarakat kini
2) Terbatasnya kebebasan untuk bertanya dan menjawab segala kekeliruan, malah pembicaraan dan pernyataan pemikiran akibat keterbatasan yang dipaksakan ke atas mereka oleh pihak-pihak tertentu.
3) Kekeliruan yang timbul dalam masyarakat Islam sendiri disebabkan gejala korupsi, kroni dan salah urus kuasa dan harta.
Hal ini merupakan dilema peradaban Islam sendiri yang seharusnya di kaji untuk menghadapi cabaran baharu melalui segala saluran pendidikan berkualiti seperti yang dapat difahami daripada falsafah dan institusi Islam sendiri.
* Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca