SHAH ALAM - UMNO dan Pas dijangka mengadakan pertemuan hari ini bagi membincangkan hala tuju dan masa depan kedua-dua parti itu dalam Muafakat Nasional (MN).
Menurut sumber, mesyuarat itu penting selepas UMNO membuat keputusan untuk tidak bersama dengan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum akan datang.
"Kepimpinan UMNO mahu tahu apakah pendirian Pas kerana ini penting untuk menentukan pembahagian kerusi menjelang pilihan raya nanti.
"Ini kerana adalah mustahil untuk memberikan kerusi sekiranya Pas tidak menyatakan pendirian mereka sama ada bersama dengan UMNO atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Sinar Harian difahamkan mesyuarat tersebut akan diadakan di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada jam 4 petang.
Pada 19 Februari lalu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Janda Baik, Pahang telah sebulat suara memutuskan tiada kerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Parti itu turut memutuskan, kebersamaan dalam kerajaan PN boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.
ARTIKEL BERKAITAN: Sah UMNO putuskan hubungan dengan Bersatu
'Pendirian UMNO dibuat selepas permintaan Muhyiddin'
Bagaimanapun Sinar Harian difahamkan bahawa terdapat satu lagi syarat yang tidak didedahkan iaitu UMNO di peringkat negeri diberikan autonomi untuk membuat keputusan sendiri.
Badan Perhubungan UMNO negeri juga boleh menentukan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun keputusan untuk menentukan calon Parlimen adalah terletak di bawah kuasa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sementara itu, sumber Pas turut mengesahkan tentang pertemuan tersebut namun parti itu tetap konsisten untuk mempertahankan MN.
"Kita jangkakan perkara ini akan dibincangkan namun ia bukan muktamad kerana banyak perkara lain yang turut akan dibincangkan namun Pas tetap konsisten untuk memperkasakan MN.
"Dalam masa sama kita juga akan mempertahankan PN dan ini adalah pendirian Pas dan ia tidak pernah berubah,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca