ANAK dara, janda, gadis, kakak, isteri, ibu, adalah wanita! Tiada kata-kata untuk menggambarkan keistimewaan wanita. Hal mereka menjadi bual bicara masyarakat. Selain kecantikan, pada hari ini kehebatan wanita diperlihatkan melalui... Klik di sini untuk terus membaca

ANAK dara, janda, gadis, kakak, isteri, ibu, adalah wanita! Tiada kata-kata untuk menggambarkan keistimewaan wanita. Hal mereka menjadi bual bicara masyarakat.

Selain kecantikan, pada hari ini kehebatan wanita diperlihatkan melalui keupayaannya menerajui kemajuan negara, pada masa sama mendokong institusi keluarga.

Oleh sebab keistimewaan peranan wanita inilah, kelmarin, 8 Mac 2021 menjadi acara sambutan Hari Wanita Sedunia bagi meraikan peranan wanita dalam pelbagai bidang.

Menyoroti Hari Wanita Sedunia ini, bagi sambutan di Malaysia, penulis tertarik dengan kata-kata Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali ketika berucap sempena hari istimewa tersebut pada Isnin.

Katanya, bertemakan ‘Wanita Bangkit Mendepani Cabaran’, Hari Wanita Sedunia pada tahun ini menjulang sumbangan wanita dalam pelbagai bidang, meskipun dibelenggu pandemik Covid-19 ketika ini.

Beliau mendoakan semoga cabaran semasa menguatkan semangat wanita untuk menerajui kemajuan dan kesejahteraan keluarga, masyarakat serta negara.

Di sini, perlu kita nilai adalah ‘semangat’ yang diperkatakan oleh Mohd Zuki. Pada pandangan penulis, semangat itu diterjemahkan kepada kekuatan hingga munculnya kehebatan wanita, sinonim peribahasa iaitu tangan menghayun buaian boleh menggoncang dunia!

Bagaimana wanita di Malaysia menjadi hebat? Bagi pandangan penulis, faktor pendidikan.

Seperti dinyatakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sempena perutusannya kelmarin, tahap pendidikan wanita di Malaysia mengagumkan melebihi lelaki sebanyak 5.3 peratus, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia dan berdasarkan laporan Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) pada 7 Disember tahun lalu.

Cuma peluang dan penglibatan ekonomi wanita adalah 38 peratus kurang daripada lelaki, manakala penglibatan dalam pembinaan negara serta politik adalah 10.8 peratus berbanding lelaki.

Penulis setuju apabila Menteri Besar Selangor itu mengatakan pemerkasaan wanita dalam semua aspek bukan lagi pilihan. Penglibatan wanita dalam pelbagai bidang termasuk sumbangan kepada pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak dinafikan. Ini semua didorong kemajuan pendidikan wanita itu sendiri.

Kebijaksanaan, kredibiliti, kebolehan dan keupayaan wanita menceburi bidang pentadbiran kini signifikan untuk melayakkan wanita sebagai pemimpin.

Dalam kita membicarakan soal wanita hebat, jangan kita lupa wanita adalah manusia biasa. Mungkin lemah dan kekurangan bahkan mudah terluka hatinya.

Letakkan sahaja dalam situasi pandemik Covid-19 ketika ini. Berapa ramai wanita ‘kering duit’ susulan ada ahli keluarga kehilangan pekerjaan. Berapa ramai stres membantu pelajaran anak-anak ketika pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Peranan mereka adalah sama dan perlu dihargai dengan penuh kasih sayang.

Penghormatan

Ia lambang penghormatan dan memperakui peranan mereka dalam kehidupan seharian terutama khidmatnya kepada lelaki.

Tetapi pada masa yang sama terdapat wanita disakiti hingga ada dalam kalangan mereka hilang nyawa iaitu dibunuh hanya kerana masalah berkaitan perasaan.

Pokoknya, kehidupan wanita dianggap indah itu sebenarnya cuma ibarat telur di hujung tanduk jika membicarakan mengenai kredibiliti, maruah termasuk nyawa miliknya kerana setiap langkah wanita itu selalu diperhatikan, apatah lagi susulan kewujudan media sosial. Tidak dinafikan ada wanita pendek akal mencanang aib di media sosial.

Wanita hebat adalah individu bermulut manis, bukan melepaskan perkataan tanpa menghiraukan masalah orang lain. Peranan wanita bagi penulis perlu diiktiraf dalam hari seperti Hari Wanita Sedunia ini.

Bukan wanita sahaja ada hari istimewa, lelaki juga ada Hari Lelaki Sedunia disambut pada 19 November.

Cuma kurang enak sedikit kerana Hari Lelaki Sedunia sama tarikh dengan Hari Tandas Sedunia.

* Anita Abu Hasan ialah penyunting Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca