BEGITU banyak mereka yang menerima gelaran ‘Datuk’ di Malaysia hingga jadi masalah nak kenal pasti mana ‘Datuk’ betul mana yang palsu. Akhir-akhir ini banyak cerita penipuan yang membabitkan ‘Datuk’ palsu.
Ada pula sindiket jual ‘Datuk’. Ada juga berita tentang tawaran gelaran ‘Datuk’ dalam talian. Khabarnya untuk gelaran ‘Datuk’ dijual dengan harga RM80,000 dan ‘Datuk Seri’ sebanyak RM120,000.
Semua orang nak bergelar ‘Datuk’ di negara ini, jadi banyaklah yang kena tipu sindiket menjual gelaran ini.
Mungkin ada prestij dan glamor pada gelaran itu. Isteri pun kembang hidung dipanggil ‘Datin’. Yang dapat ‘Datuk’ berlagak pula dengan gelaran itu. Kalau tak panggil ‘Datuk’ marah nanti.
Pada pendapat Awang sudah sampai masanya dikaji semula kaedah pemberian ‘Datuk’ terutamanya oleh kerajaan-kerajaan negeri. Perlu ada kuota macam yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan. Berpada-padalah memberi gelaran Datuk.
Biarlah ada proses yang ketat dalam pemberian itu. Aspek umur juga patut diambil kira. Sepatutnya ada tapisan pada peringkat PDRM dan SPRM.
Anugerah itu sepatutnya menjadi sesuatu yang dihargai dan dihormati, bukan dijadikan bahan senda gurau. Oleh sebab terlalu ramai yang menerimanya, dah jadi jenaka dalam kalangan rakyat.
Titah seorang Sultan, jikalau baling batu, terkena seorang ‘Datuk’, jikalau batu itu terpelanting ke tempat lain terkena ‘Datuk’ yang lain.
Klik di sini untuk terus membaca