PARTI Pribumi Bersatu Malaysia atau Bersatu asalnya merupakan sebuah parti minoriti yang hadir di sekitaran parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang lebih besar dan suka bising-bising, yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).... Klik di sini untuk terus membaca

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia atau Bersatu asalnya merupakan sebuah parti minoriti yang hadir di sekitaran parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang lebih besar dan suka bising-bising, yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Walaupun hanya meraih 12 kerusi Parlimen pada PRU14, pengaruh dan kuasanya berlipat ganda lebih besar kerana Presidennya, Tun Dr Mahathir Mohamad ialah Pengerusi PH ketika itu dan telah dilantik menjadi Perdana Menteri serta berkuasa sepenuhnya memilih siapa sahaja untuk menjadi anggota Kabinet atau menteri, kerajaan.

Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri, portfolio yang cukup penting dan beberapa kali telah djawat oleh Dr Mahathir sendiri semasa menerajui kerajaan Barisan Nasional (BN).

Walaupun Bersatu hanya ada 12 ahli Parlimen, namun majoriti ahli dan heavyweight pimpinannya adalah bekas ahli UMNO dan beberapa muka baharu. Pokoknya, Bersatu adalah parti Melayu.

Bersatu berpecah pada Februari 2020 setelah Langkah Sheraton berlaku dan Dr Mahathir meletak jawatan Perdana Menteri, dan keluar Bersatu. Kerajaan PH turut tersungkur sebelum cukup dua tahun berkuasa.

Namun, parti Bersatu biarpun bercerai tetapi bertambah teguh kerana komponen yang bercerai pada Februari 2020, biarpun kecil bilangan ahli Parlimennya, 26 orang, Presidennya, telah dipilih menjadi Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong dalam satu kerangka politik ‘grand coalition’ bersama UMNO (bilangan ahli Parlimen melebihi Bersatu), Pas dan beberapa parti di Sabah serta Sarawak.

Seperti Team A dan Team B dalam krisis UMNO 1987, kali ini pada 2020 dalam satu keadaan lain. Team A Bersatu di bawah Dr Mahathir tewas kepada Team B Bersatu pimpinan Muhyiddin.

Team A terus pudar meraba-raba mencari hala walaupun diberi nama Pejuang. Team B semakin teguh kerana kedudukan sebagai Perdana Menteri berkuasa memilih siapa saja untuk menganggotai Kabinetnya.

Bermula dengan pemilihan anggota Kabinet inilah, parti Bersatu dan kedudukan Muhyiddin mula goyah, dan membawa ketegangan dalam kelompok grand design yang mengandungi Bersatu UMNO, Pas dan beberapa parti Sabah serta Sarawak.

Jika Muhyiddin menganggap pilihan anggota Kabinetnya bagus dan strategik tetapi UMNO tetap menganggapnya tindakan membuli, malah mempersendakan UMNO, parti komponen yang lebih besar dalam kerajaan Pakatan Nasional (PN).

Strategi

Ramai dalam UMNO geram dan bertanya-tanya mengapa Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin (6,799 undi) yang kalah teruk di tangan Tan Sri Annuar Musa (25,467 undi) di Parlimen Ketereh dilantik Senator untuk lantikan Menteri Kanan dalam Kabinetnya, sedangkan Annuar menteri biasa-biasa sahaja.

Dalam kebijaksanaan strategi membisu Muhyiddin itu terdedah kekeliruan besar. Buktinya, Annuar sehingga kini merupakan satu-satunya menteri UMNO yang bersuara lantang mempertahankan untuk mengekalkan hubungan Bersatu dan UMNO. Ia jelas memaparkan jiwa besar beliau walaupun tak terpilih sebagai Menteri Kanan.

UMNO pula yang ternyata berpecah kepada beberapa kelompok dalaman bersuara seolah-olah satu melalui Presidennya. Namun, umum tahu bahawa ia masih beramok sesama sendiri. Malah Tun Musa Hitam, bekas Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri telah mencadangkan supaya dikeluarkan sahaja dahulu ‘kluster mahkamah’ sehingga kes mahkamah masing-masing selesai.

Terdengar juga pelbagai kenyataan bercanggah dengan pendirian Presiden UMNO datang daripada beberapa pemimpin peringkat bahagian UMNO.

UMNO terus mengasak Bersatu baru-baru ini dengan kenyataan rasmi daripada Majlis Tertinggi UMNO kepada pimpinan Bersatu untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu dan PN apabila Parlimen dibubarkan untuk PRU15. Bersatu menjawab bahawa permintaan itu ‘serius’ dan akan dipertimbangkan.

Asakan terhadap Muhyiddin dan Bersatu juga datang daripada beberapa penjuru lain. Paling kuat dan strategik datang daripada Ku Li secara peribadi sejak awal Muhyiddin jadi Perdana Menteri. Kini beliau disokong oleh bekas musuh politiknya, Dr Mahathir dan dibantu Tamrin, anak Tun Abdul Ghafar Baba.

* Shamsul Amri Baharuddin ialah Profesor Ulung di Institut Kajian Etnik (KITA), UKM

Klik di sini untuk terus membaca