"SYURGA itu di telapak kaki ibu...”. Mengamati bait lirik ini mengingatkan kita kepada kemerduan suara penyanyi Aisyah. Suaranya yang lemak merdu sewaktu menyanyikan lagu ciptaan asal Said Effendi itu boleh membuatkan air mata bercucuran.
Merak Jalanan teringat lagu ini sebab sewaktu Merak Jalanan bawa ayah mendapatkan rawatan di hospital semalam, terpandang seorang makcik sedang terkial-kial mendaftar di kauntar hospital.
Gigih si makcik menggagau beg tangannya mencari cermin mata, mana nak pegang tongkat lagi. Kasihan sungguh. Tidak tahan dengan pemandangan itu, Merak Jalanan beritahu ayah nak bantu makcik itu. Lagipun giliran ayah masih lambat.
Sebaik sahaja memberi salam dan beritahu niat ingin membantu, terlihat riak lega di wajah wanita penghujung 60 tahun itu. Selepas selesai urusan di kaunter, kami duduk berdekatan.
Seperti mengetahui 1,001 persoalan di benak fikiran Merak Jalanan, makcik itu terus bercerita. Katanya, setiap minggu dia perlu membuat rawatan susulan penyakit kencing manisnya. Anak-anaknya seramai tiga orang, semua sibuk bekerja. Suaminya baru meninggal dunia tahun lepas akibat sakit tua.
"Kenapa anak tidak teman makcik?” laju Merak Jalanan bertanya. Kata makcik itu, anak-anaknya akan singgah menjenguknya pada hujung minggu. Seperti kisah dalam drama bersiri, anak-anak singgah hanya sejam dua kerana sibuk urus hal peribadi masing-masing.
Merak Jalanan menangis, tidak tahan mendengar kisahnya.
"Janganlah sedih, makcik okey. Anak-anak ada kehidupan mereka. Makcik doakan mereka berjaya dunia akhirat,” ujarnya lembut.
Hebatnya wanita bergelar ibu. Duhai anak, usahlah menziarah ibu bapa seperti tetamu. Luangkanlah masa bersama mereka selagi hayat dikandung badan. Buat makcik itu, ibu Merak Jalanan dan wanita-wanita cekal lain di luar sana, selamat Hari Wanita. Anda luar biasa!
Klik di sini untuk terus membaca