"DEMI lencana di dada.”
Kata-kata itu mungkin kedengaran klise dalam kalangan peminat dan penggiat bola sepak tempatan, tetapi bukan untuk Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Christopher Raj.
Tidak ramai yang mengetahui, Christopher, 45 atau lebih mesra disapa Chris sudah lama berkecimpung dalam sukan bola sepak, malahan sebelum dilantik sebagai Exco bagi penggal 2017-2021.
Memulakan kerjayanya di badan induk itu sebagai Pegawai Media mulai 1994-2004, Chris beralih angin kepada bidang media pada 2006 sebagai wartawan kanan bola sepak The New Straits Times.
Beliau kemudiannya berhenti pada 2011 untuk mengendalikan ShekhinahPR, yang kini menjadi antara agensi perhubungan awam sukan terulung di tanah air.
Chris yang diberikan amanah untuk mengetuai Jawatankuasa Media dan Perhubungan Awam bagi penggal 2017-2021, telah melaksanakan banyak perubahan dengan pencapaian terbesarnya adalah dengan meningkatkan jumlah pengikut di platform media sosial FAM.
"Pelantikan saya pada 2017 membuka lembaran baharu buat diri saya dalam pembabitan saya sebagai Exco FAM. Berdepan saingan sengit ketika itu, saya tidak menyangka dipilih sebagai Exco memandangkan saya hanya bergelar ahli bebas dan tidak bernaung di bawah mana-mana persatuan,” katanya.
Sebaik dilantik, beliau telah melaksanakan beberapa program yang melibatkan media antaranya sesi perjumpaan presiden bersama media, Karnival Futsal Media-FAM serta turut menyediakan pelan komunikasi yang lebih efisien buat badan induk bola sepak itu.
Seandainya diberikan sokongan untuk meneruskan khidmatnya sebagai Exco bagi penggal 2021-2025, Chris memiliki cita-citanya tersendiri untuk meningkatkan hubungan antara badan induk itu dengan para peminat.
"Kami perlu meneruskan siri program pendekatan dengan peminat menerusi laman-laman sosial FAM. Saya memiliki perancangan tersendiri untuk menjadikan FAM lebih dekat dengan peminat setia bola sepak negara.
"Tidak lupa juga hubungan baik antara FAM dan organisasi media di negara ini akan terus dipelihara kerana sumbangan mereka amat membantu badan induk ini.
"Kami juga akan berusaha menambah baik isi kandungan di laman sosial kerana ia dapat membantu pembangunan bola sepak negara sebagai salah satu usaha meningkatkan nilai komersil liga Malaysia yang juga dapat membantu FAM meneruskan kelangsungan penjanaan kewangan.
"Selain itu, jawatankuasa media FAM juga berhasrat untuk menubuhkan pangkalan data yang lengkap untuk bekas pemain kebangsaan.
"Usaha ini adalah untuk memastikan bahawa segala rekod butiran, statistik dan sejarah bola sepak negara terus terpelihara dan boleh menjadi bahan rujukan oleh segenap lapisan masyarakat.”
Selain khidmatnya di FAM, Chris juga adalah seorang individu yang disegani di pentas bola sepak antarabangsa apabila beliau pernah berkongsi ilmu dan kepakarannya sebagai konsultan media bersama Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Tengah & Caribbean (Concacaf) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Klik di sini untuk terus membaca