BERMULANYA sesi persekolahan secara rasmi bagi tahun 2021 dalam suasana pandemik, ada dua perasaan yang bercampur baur.
Lega campur takut! Lega kerana segala bebanan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sudah berakhir dan tugas hakiki ini dikembalikan kepada mereka yang lebih arif.
Bukanlah kami ibu bapa tidak mahu ambil tanggungjawab mendidik anak-anak tetapi apabila lihat sahaja video dan nota-nota arahan cara kerja diberi, kami jadi buntu.
Jika subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam mahupun Sains, kami masih boleh faham dan ajarkan kepada anak-anak kecil ini tetapi apabila masuk subjek Bahasa Arab, nak tanya Pak Cik Google pun pening juga dibuatnya.
Jangan ceritalah tentang Google Classroom dan Google Meet, itu bab lain pula! Tapi penulis percaya, kebimbangan paling utama ibu bapa adalah sejauh manakah keselamatan anak-anak terjamin tatkala Covid-19 masih bertapak di bumi Malaysia.
Penulis bukan nak bimbang tak bertempat. Baru seminggu anak masuk Tahun Satu, sudah kena kuarantin apabila ada rakan sekelas positif Covid-19. Kes itu bukan sahaja berlaku di sekolah anak penulis kerana beberapa sekolah lain di Kuala Lumpur - Selangor turut dilaporkan wujud kes Covid-19 selepas sekolah kembali dibuka pada 1 Mac. Maka, tidak hairanlah ada ibu bapa yang melancarkan petisyen di change.org meminta penutupan sekolah dibuat.
Penulis faham sangat perasaan ibu bapa kerana turut melalui pengalaman sama. Kami melepaskan anak-anak ke sekolah dengan perasaan yang sukar digambarkan, apatah lagi jika anak baru Tahun Satu.
Bukan kami saja-saja nak takut, gelabah tak tentu hala. Virus Covid-19 hakikatnya sudah meragut lebih 1,600 nyawa di Malaysia.
Pertimbangan
Jika kita lihat di media sosial, bukan sedikit luahan ibu bapa yang meminta supaya kerajaan beri pertimbangan sewajarnya agar pembelajaran secara bersemuka ditangguhkan dahulu dan menumpukan kepada PdPR sahaja buat masa ini.
Malah, Facebook Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut dihujani luahan ibu bapa yang turut mempersoalkan tentang prosedur operasi standard (SOP) sekolah yang disifatkan masih kelam kabut.
Rata-ratanya bimbang apabila ada pelajar dan guru dijangkiti Covid-19 apabila sesi sekolah secara bersemuka bermula.
Namun, Menterinya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin cuba meyakinkan ibu bapa bahawa keadaan ketika ini masih terkawal. Menurutnya, jika terdapat kes Covid-19 di sesebuah sekolah, Pusat Kesihatan Daerah akan menentukan sama ada sekolah itu perlu ditutup sepenuhnya atau sebahagian sahaja.
Bagi SOP penyuraian pula, KPM sudah mencadangkan kaedah penyuraian secara berperingkat sekiranya sekolah itu mempunyai jumlah murid yang ramai bagi mengelak kesesakan dan sebagai langkah berjaga-jaga mencegah penularan wabak dalam komuniti. Beberapa model penyuraian boleh dipertimbangkan pihak sekolah berdasarkan keadaan, kapasiti dan lokasi sekolah sudah diberikan.
Mohd Radzi berkata, pihaknya menyedari bahawa perkara berkaitan dengan penyuraian selepas tamat sesi persekolahan amat memerlukan perhatian khusus.
"Bagi memastikan penyuraian di luar pagar sekolah dapat dilaksanakan dengan baik dan teratur, kerjasama daripada ibu bapa amatlah kami perlukan,” katanya.
Di pihak KPM dan sekolah, perancangan rapi sudah dibuat, kini masa untuk melaksanakannya dengan beberapa penambahbaikan mengikut keperluan semasa.
Ya, semuanya serba baharu, perancangan di atas kertas selagi belum dilaksanakan, selagi itulah kita tidak akan dapat gambaran sebenar dan proses penambahbaikan akan sentiasa berlaku dalam situasi sekarang.
Kita semua masih peringkat try and error, bukan sahaja pihak KPM dan sekolah, malah ibu bapa juga begitu dalam proses mengadaptasi alam persekolahan era baharu ini.
Semoga segala kebimbangan ini cepat berlalu pergi dan anak-anak dapat kembali menikmati dunia persekolahan yang sebenar.
*Salmiah Druhamad Drahsin ialah Web Editor Sinar Online
Klik di sini untuk terus membaca