SHAH ALAM - Syarikat perkhidmatan penghantaran barangan dan makanan (p-hailing) disaran mengadakan pertemuan atau dialog bersama kementerian berkaitan bagi mencari penyelesaian mengatasi isu kemalangan jalan raya yang banyak dikesan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Syarikat perkhidmatan penghantaran barangan dan makanan (p-hailing) disaran mengadakan pertemuan atau dialog bersama kementerian berkaitan bagi mencari penyelesaian mengatasi isu kemalangan jalan raya yang banyak dikesan melibatkan penghantar atau ‘rider’ dari sektor terbabit.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Law Teik Hua berkata, pertemuan itu juga bertujuan membincangkan agar satu sistem dapat diwujudkan bagi memantau jadual serta perkhidmatan penghantar p-hailing lebih sistematik.

Beliau berkata, hampir kesemua penghantar kini dilihat begitu tergesa-gesa untuk menyelesaikan tugasan (penghantaran) mereka secepat mungkin sehingga sanggup menggadaikan nyawa.

"Sebab itu ada yang tunggang laju, langgar lampu isyarat kerana mereka tidak mahu pelanggan mengadu service lambat, rating jatuh serta ada juga yang mengejar trip untuk dapat komisen tertentu.

"Faktor-faktor sebegini yang banyak mendedahkan mereka kepada risiko kemalangan jalan raya.

"Sekiranya dialog atau pertemuan itu dapat direalisasikan, saya percaya kedua-dua pihak akan dapat berkongsi pandangan untuk mewujudkan satu mekanisme yang lebih baik agar para penghantar p-hailing boleh menjadi penghantar yang lebih beretika serta menjalankan khidmat tanpa tekanan atau bahaya,” katanya kepada Sinar Harian.

Teik Hua yang juga ahli Gabungan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) turut mengesyorkan agar syarikat-syarikat p-hailing dapat memperuntukkan sedikit wang demi keselamatan penghantar/pekerja mereka yang menunggang motosikal.

Beliau berkata, para penghantar p-hailing banyak menghabiskan masa mereka di atas jalan dan disebabkan itu risiko mereka lebih tinggi berbanding penunggang motosikal biasa.

"Ramai pengguna jalan raya lain tidak menyedari kehadiran mereka dan itu meningkatkan lagi risiko bahaya.

"Saya cadang untuk syarikat terlibat sediakan kotak penghantaran serta baju pantul cahaya supaya kenderaan lain boleh melihat mereka dengan jelas khususnya pada waktu malam,” katanya.

Teik Hua berkata, beliau juga berharap agar para pelanggan juga dapat bertoleransi dengan penghantar makanan atau barangan ini.

"Betul anda bayar mereka untuk perkhidmatan yang dilaksanakan tetapi bukankah lebih baik jika barangan itu lambat sedikit tetapi selamat tiba kepada anda?

"Jika rider ini lewat 5 ke 10 minit dari masa ditetapkan, saya fikir ia masih boleh diterima kerana kita perlu faham risiko yang dihadapi mereka,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca