SHAH ALAM - Syarikat penghantaran makanan dan barangan dilaporkan belum mempunyai sistem yang boleh memantau disiplin pekerja p-hailing ketika menjalankan tugas.
Pengurus Pematuhan Pelanggan MatDespatch, Faris Manap berkata, setakat ini, sistem syarikat-syarikat penghantaran hanya boleh mengesan kelajuan dan muatan barang yang dibawa oleh pekerja p-hailing.
"Saya rasa semua syarikat penghantaran tiada sistem yang boleh pantau (disiplin pekerja). Cuma yang kita boleh tengok daripada masa yang digunakan untuk siapkan satu tugasan itu.
"Setiap tugasan ada jarak perjalanan contohnya 10 kilometer. Kalau rider siapkan (tugasan) cepat sangat, contohnya lima minit dah siap dan sampai ke penerima, kita dapat mengesan dia tunggang motosikal laju tetapi kita tidak tahu kesalahan dia,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Justeru, beliau mencadangkan agar syarikat penghantaran membuka satu medium untuk membuat aduan terhadap pekerja p-hailing yang melakukan kesalahan jalan raya sewaktu bertugas.
Menurutnya, penyediaan platform berkenaan boleh dilakukan melalui aplikasi, nombor hotline atau melalui laman web rasmi syarikat penghantaran.
"Saya harap syarikat penghantaran barangan dan makanan menyediakan kemudahan itu untuk masyarakat membuat aduan kalau ada rider buat salah. Jadi lebih teratur,” ujarnya.
Faris turut menasihati kepada pekerja p-hailing agar tidak perlu kelam-kabut dalam melakukan kerja.
"Harapan saya pada pekerja penghantar makanan dan barangan ini, ikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan ikut masa yang diberi.
"Sebab syarikat tidak akan bagi masa yang terlalu ketat untuk menyudahkan sesuatu kerja itu,” jelasnya
Klik di sini untuk terus membaca