"SEORANG ibu mampu menjaga sepuluh orang anak, tetapi sepuluh orang anak belum tentu mampu menjaga seorag ibu.” Itu antara ungkapan yang sering kita dengar tatkala timbul isu melibatkan anak-anak mengabaikan tanggungjawab menjaga orang tua mereka.
Sejak kebelakangan ini kita kembali mendengar kisah ibu bapa yang ditinggalkan anak-anak sama ada di rumah orang tua, masjid, hospital mahupun tepi jalan.
Malah melalui berita-berita yang disiarkan di akhbar mahupun media sosial, masalah itu bukan hanya berlaku dalam kalangan ibu sahaja bahkan golongan bapa juga tidak terlepas diabaikan anak-anak.
Lebih meruntun jiwa apabila mendengar berita mengenai penemuan mayat seorang wanita warga emas yang tinggal bersendirian terbaring di dalam rumahnya di Pulau Pinang Februari lalu.
Bukan itu sahaja, perkongsian mengenai seorang ibu yang kudung ditinggalkan di tepi jalan di Selangor turut menyentuh hati, selain nasib seorang lelaki warga emas yang ditinggalkan di sebuah surau baru-baru ini.
Penulis sedikit terkesan apabila perkara itu masih berlaku dalam kalangan masyarakat hari ini tambah-tambah lagi kita kini hidup dalam era milenium dengan pelbagai kemudahan dan bantuan yang disediakan oleh agensi-agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) khususnya buat warga emas.
Begitupun, hanya mereka yang berdepan dengan masalah itu sahaja yang mengetahui apa yang sebenarnya berlaku dalam keluarga mereka sehingga sanggup mengambil tindakan sedemikian rupa.
Mungkin disebabkan kesempitan hidup dan kekurangan pengetahuan mengenai bantuan disediakan pihak berkaitan atau pelbagai lagi alasan menyebabkan mereka mengambil pendekatan untuk tidak lagi menjaga orang tua.
Namun percayalah mengambil tanggungjawab menjaga orang tua terutama ibu bapa merupakan satu tugas yang cukup mulia bukan sahaja dalam kalangan masyarakat bahkan dituntut dalam agama.
Pengalaman penulis menjaga bapa yang terlantar sakit akibat penyakit kencing manis selama dua tahun sangat memberi kesan apabila mendengar isu-isu sebegini masih lagi berlaku dalam masyarakat kita hari ini.
Pengorbanan ibu bapa yang membesarkan kita sedari kecil sehingga mampu menggapai kejayaan dalam kerjaya sukar untuk dibayar dengan wang ringgit, sebaliknya apa yang hanya mereka harapkan adalah kasih sayang daripada anak-anak sehingga ke hujung nyawa.
Sememangnya menjaga orang tua berdepan pelbagai karenah, namun tanpa kita sedari itulah kerenah yang diharungi ibu bapa sewaktu membesarkan dan mendidik kita sedari kecil sehingga dewasa.
Berbalik kepada mengapa perkara sebegini masih berlaku dalam kalangan masyarakat dikatakan berpunca daripada beberapa faktor antaranya adalah disebabkan sikap manusia itu sendiri.
Mungkin segelintir mereka menganggap menjaga ibu bapa yang sudah berusia membebankan selain menyusahkan mereka.
Selain itu, kecacatan, nyanyuk, ketidaksefahaman, kesibukan dan masalah kewangan juga merupakan punca segelintir daripada mereka mengambil keputusan untuk menghantar ibu bapa ke rumah orang tua.Tidak kurang juga yang sanggup membiarkan ibu bapa hidup bersendirian dan hanya melepaskan tanggungjawab kepada belas ihsan jiran tetangga untuk memenuhi keperluan harian.
Seharusnya kita sebagai anak atau ahli keluarga perlu menanamkan nilai kasih sayang terhadap keluarga dan belajar untuk menghargai ibu bapa sendiri walaupun mereka sudah tua dan tidak mampu menguruskan diri sendiri.
Jasa dan pengorbanan yang telah diberikan ibu bapa sehingga kita mampu menikmati kesenangan hari ini perlu sentiasa diingati kerana tanpa mereka berdua, maka tiadalah kita yang bergelar anak-anak di muka bumi ini.
Hargai dan sayangilah ibu bapa kita selagi mereka masih hidup.Janganlah kita menjadi anak yang derhaka kepada kedua orang tua demi mengejar kehidupan duniawi yang tidak menjanjikan apa-apa.
* Zubir Sulaiman ialah Penyunting Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca