SEMASA darurat diisytihar pada 11 Januari 2021, Perdana Menteri memberi akujanji bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan dilaksana selepas Covid-19 dapat diatasi oleh kerajaan.
Mengikut sistem perundangan negara, jangka hayat Parlimen sekarang akan tamat pada Jun 2023 dan PRU15 perlu diadakan selewat-lewatnya Ogos 2023.
Namun dengan pelan vaksinasi Covid-19 yang akan bermula di seluruh negara pada Mac 2021, masyarakat yakin Covid-19 dapat dibendung dan kehidupan berjalan dengan lebih sempurna mengikut norma baharu.
Ditambah dengan keadaan politik semasa yang sentiasa bergolak, ramai yakin bahawa PRU15 perlu dilaksanakan secepat mungkin bagi membolehkan kerajaan mendapat mandat lebih kukuh daripada pengundi.
Secara asasnya pilihan raya adalah satu proses di mana pengundi berdaftar diberi peluang melaksanakan tugas sebagai rakyat untuk memilih wakil bagi membawa suara dan inspirasi mereka ke dalam proses pembikinan undang-undang sama ada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.
Parti-parti politik atau orang perseorangan akan meletakkan calon-calon untuk dipilih oleh rakyat dengan pelbagai janji untuk menarik sokongan daripada pengundi. Bagi memilih calon yang sesuai, pengundi perlu faham apa bidang tugas seseorang wakil rakyat dipilih.
Apakah skop kerja seorang wakil rakyat? Pertama, gubal undang-undang baharu atau meminda undang-undang sedia ada.
Parlimen di peringkat Persekutuan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) ialah badan ulung bagi pembikinan undang-undang yang bertujuan menjaga kepentingan rakyat.
Tugas kedua wakil rakyat adalah memastikan isu-isu atau masalah yang dihadapi penduduk dapat diatasi dengan mengetengahkan isu-isu yang berbangkit dan menggubal undang-undang atau memastikan pihak eksekutif atau pentadbiran negara mewujudkan polisi bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh rakyat.
Ketiga, rakyat wakil juga bertindak sebagai pasukan pemantau ke atas segala urusan badan pentadbiran (eksekutif) bagi memastikan polisi dan peraturan yang dijalankan oleh kerajaan memberi manfaat dan bukan membebankan rakyat.
Pengetahuan luas
Berdasarkan tugas-tugas yang dinyatakan adalah jelas bahawa calon-calon yang ingin menawarkan diri menjadi wakil rakyat harus mempunyai pengetahuan luas berkaitan isu, dasar ataupun struktur yang akan memberi kesan secara terus kepada rakyat.
Calon yang terpilih perlu memastikan isu itu tidak memberi kesan negatif kepada masyarakat. Calon-calon juga harus faham tatacara pelaksanaan sesuatu polisi oleh jabatan dan agensi kerajaan agar pelaksanaan polisi tidak akan menimbulkan kesan negatif terhadap rakyat.
Sejak kebelakangan ini tingkah laku ahli-ahli Parlimen semasa bersidang sering menimbulkan persoalan sama ada mereka layak berada di dalam Dewan Rakyat yang dianggap mulia itu.
Sebagai wakil rakyat, ahli dewan haruslah mampu menonjolkan sifat peribadi yang berintegriti tinggi. Wakil rakyat bukanlah ketua masyarakat, namun di negara ini wakil rakyat sering menganggap diri mereka adalah ketua.
Sebagai ketua, mereka harus bersih dan suci dari perkara yang boleh memberi tanggapan negatif terhadap mereka.
Tuduhan jenayah, tindakan undang-undang di mahkamah dan lain-lain perkara yang menggugat tahap integriti boleh dijadikan alasan bagi seseorang wakil rakyat meletak jawatan.
Amat malang di negara kita hukuman dibuat oleh mahkamah tidak memberi kesan kepada ahli politik. Malah publisiti yang ditimbul dari kes-kes mahkamah menjadikan ahli-ahli politik lebih popular.
Pengundi bagi pilihan raya akan datang harus memberi perhatian serius terhadap aspek integriti ni.
Masyarakat terutama di kawasan luar bandar sering bergantung kepada wakil rakyat bagi menyelesaikan masalah dan isu-isu berkaitan dengan kebajikan.
Walaupun perkara-perkara ini bukanlah di bawah bidang kuasa wakil rakyat sepenuhnya, tetapi telah menjadi lumrah bagi wakil rakyat untuk jadi jagoh dengan menyediakan perkara tersebut kepada rakyat.
Menyempurnakan tuntutan rakyat ini akan menambah populariti wakil rakyat untuk menjamin pemilihan semula di kawasan tersebut.
Soalan yang timbul ialah, adakah perlu bagi wakil rakyat menjadi ‘pegawai kebajikan’ atau ‘kontraktor bangunan atau jalan’? Kerana tugas hakiki wakil rakyat adalah menyediakan undang-undang dan polisi bagi memastikan kesejahteraan rakyat.
*Amerul Muner Mohammad ialah mantan CEO Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya
Klik di sini untuk terus membaca