TAHUN 2020 adalah tahun getir disebabkan Covid-19. Walaupun kini berputik harapan dengan kedatangan vaksin di seluruh dunia, masih banyak negara bergelut dengan kesan Covid-19. Pada masa artikel ini ditulis, setahun telah berlalu sejak saya... Klik di sini untuk terus membaca

TAHUN 2020 adalah tahun getir disebabkan Covid-19. Walaupun kini berputik harapan dengan kedatangan vaksin di seluruh dunia, masih banyak negara bergelut dengan kesan Covid-19.

Pada masa artikel ini ditulis, setahun telah berlalu sejak saya mula memegang jawatan di Kementerian Kewangan (MOF) pada 10 Mac 2020.

Pada waktu itu sedang barisan Kabinet yang dilantik kerajaan baharu masih ‘hijau’ dan menyesuaikan diri di kementerian masing masing-masing, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 18 Mac 2020 telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 untuk membendung penyebaran Covid-19.

Perjuangan kita mengekang wabak itu tahun lalu telah memberi impak besar kepada ekonomi negara. Di kemuncak PKP 1.0 sekitar April 2020, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menyusut 28.7 peratus.

Syukurlah, kerajaan berupaya menggubal empat pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM305 bilion dan pelbagai lagi langkah kemudiannya.

Tindakan tegas kerajaan berjaya mengekang penularan Covid-19 di samping mengawal kadar kematian di paras sekitar 0.4 peratus.

Di perbatasan ekonomi, langkah-langkah yang digubal kerajaan telah melindungi 2.7 juta pekerjaan, menyalurkan bantuan kepada lebih sejuta perniagaan dan PKS mikro serta menyokong KDNK yang mula pulih hingga kadar -5.6 peratus untuk tahun 2020.

Walau apapun tohmahan dilemparkan, kerajaan hari ini membuktikan berjaya menerajui negara memudiki cabaran Covid-19 dan mengelakkan kita terdampar dalam satu bencana ekonomi.

Ekonomi makin pulih

Alhamdulillah memasuki suku pertama 2021, ekonomi semakin pulih dan menyaksikan pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dengan jayanya.

Berdasarkan pelbagai data yang dikumpul, boleh dikatakan kita sudahpun melalui kemuncak paling getir dalam serangan wabak itu.

Sekitar 290,000 rakyat Malaysia telah pun menerima vaksin sejak 24 Februari dan lebih ramai lagi akan menyusul.

Kita dapat menjangkakan akan ada kelonggaran pergerakan dan ekonomi Malaysia juga semakin pulih dan kembali normal. Tetapi di ambang zaman pasca Covid-19, ke manakah arah tuju kita dari sini? Apakah kesediaan kita untuk menghadapi cara beroperasi pasca Covid-19?

Pastinya, keadaan tidak lagi kembali seperti dulu. Covid-19 telah menggegar dan merubah masyarakat sedunia.

Wabak itu juga telah mempercepatkan era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dengan lebih banyak negara mendokong teknologi berlandaskan internet of things, big data (data raya) dan artificial intelligence (kecerdasan buatan).

Dalam gelora perubahan itu, adakah kita bersedia mengharungi gelombang mendatang atau adakah kita akan hanyut dibawa arusnya?

Pada bulan November 2020, semasa ucaptama beliau di Dialog CEO Negara-negara APEC yang berlangsung secara maya, Presiden China, Xi Jinping memberi gambaran tentang situasi negara China di era pasca Covid-19.

Beliau menjelaskan China tidak mempunyai pilihan selain untuk mempercepat inovasi saintifik dan teknologi negara itu dalam mendorong pertumbuhan baharu.

Ini diperkatakan beliau walaupun negara itu sebenarnya sudah berada di barisan hadapan e-dagang (dipelopori entiti gergasi seperti Alibaba atau Tencent), malahan telah mendahului dunia Barat dalam bidang seperti teknologi nano atau data raya.

Tahun ini, China melancarkan Rancangan Lima Tahun ke-14 dan visi Made in China 2025 iaitu satu ikhtiar Beijing untuk melonjakkan pendapatan rakyat golongan kelas pertengahan yang dianggarkan lebih 400 juta orang.

Kita juga menyedari cabaran besar dalam menganjakkan negara keluar dari perangkap pendapatan kelas pertengahan (middle-income trap). Muhyiddin dalam ucapannya di Forum Ekonomi Belia 2021 awal bulan ini mengatakan bahawa usaha untuk mengelak kita terus terperangkap dalam pendapatan kelas pertengahan akan memerlukan idea dan pendekatan tidak konvensional.

Untuk tujuan itu, Perdana Menteri telah melancarkan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan MyDIGITAL pada bulan lalu yang akan mempercepat hubung kait digital di peringkat kebangsaan dan penggunaan teknologi untuk memacu transformasi ekonomi Malaysia.

Beberapa tonggak utama telah ditetapkan. Menjelang akhir 2021, teknologi 5G tersedia secara berperingkat.

Pengajaran

Meskipun begitu, peralihan ekonomi yang didorong oleh teknologi tidak dapat berlaku dalam sekelip mata. Setahun bertugas di Kementerian Kewangan memberi saya beberapa pengajaran penting.

Pertama, peranan big data atau data raya sebagai pemangkin baharu bagi penggubalan dasar.

Untuk dasar awam lebih efektif dan inovatif dalam membantu rakyat, data yang tepat amatlah penting terutama dalam merumuskan dasar yang bersasar dan menepati keperluan. Melalui data raya dan proses analitik, kita dapat mengkaji trend tingkah laku atau mengenal pasti penerima benar-benar memerlukan bantuan kerajaan.

Kedua, sangat penting untuk kita menilai sebanyak mungkin pulangan pelaburan dari inisiatif dengan menggunakan teknologi. Dalam perniagaan, kita sentiasa mengharapkan pulangan terbaik dari setiap perbelanjaan.

Begitu juga dari segi dasar awam, teknologi adalah pemudah cara untuk membantu kita mengukur langkah dan mengesan pulangan pelaburan dengan tepat.

Untuk tujuan ini, papan pemuka digital (digital dashboard) yang dibangunkan oleh Laksana telah memberikan data masa nyata untuk membantu mengubah dasar, jika perlu bagi memastikan keberhasilan tercapai.

Ketiga, walaupun teknologi adalah pemudah cara usaha kita mengubah ekonomi, rakyat tetap menjadi keutamaan.

Teknologi hanyalah satu kaedah untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang ada dengan lebih baik dan peralihan ke ekonomi yang dipacu oleh teknologi dan data masih memerlukan manusia, bukan robot.

Saya juga yakin dengan penerapan lebih banyak penyelesaian berasaskan teknologi, industri dan pekerjaan baharu dengan nilai lebih tinggi akan dapat diwujudkan.

Keempat, semua pihak mesti memainkan peranan mereka dalam mencapai objektif Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

Dalam Belanjawan 2021 sahaja, kerajaan telah memperuntukkan sekurang-kurangnya RM4.2 bilion untuk meningkatkan kesalinghubungan digital dan membangunkan digitalisasi.

Sebagai tambahan, SKMM merancang membelanjakan RM7.4 bilion pada tempoh 2021-2022 untuk mempertingkat dan memperluaskan liputan jalur lebar. Kerajaan akan menyediakan lebih banyak penyelesaian berasaskan teknologi untuk individu dan perniagaan supaya pulih dan tumbuh semula di zaman pasca Covid-19.

Namun turut sama pentingnya adalah anjakan minda oleh semua pihak untuk mengambil peluang dari segala inisiatif yang disediakan bagi memajukan pertumbuhan teknologi sektor mereka sendiri.

Kongsi kemakmuran

Sedang kita membentuk ekonomi pasca pandemik lebih mampan dengan menerapkan digitalisasi, kerajaan menyedari bahawa matlamat akhir kita adalah untuk memastikan semua rakyat Malaysia dapat turut sama berkongsi kemakmuran hasil dari pertumbuhan ekonomi negara.

Sebarang lonjakan dan perubahan mesti memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhan, bukan hanya kepada pemain teknologi dan digital sedia ada.

Sekiranya kita dapat memanfaatkan teknologi digital secara strategik dan sistematik, kita bukan sahaja akan muncul sebagai masyarakat yang moden dan berdaya tahan, tetapi juga dapat mewujudkan kesaksamaan sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Saya dimaklumkan bahawa dalam perbendaharaan kata Cina, tulisan bagi perkataan krisis adalah gabungan antara makna ‘bahaya᾿ dan ‘peluang᾿. China jelas sekali merebut peluang dari krisis ini.

Kerajaan juga berhasrat untuk merebut peluang ini dengan antara lain menggunakan teknologi sebagai batu loncatan kepada pembaharuan yang sudah lama tertunda; merangka langkah-langkah bersasar yang mengutamakan keberhasilan; dan memastikan sektor yang paling teruk terkesan dengan pandemik ini diberi daya ketahanan untuk masa depan yang lebih terjamin.

Pandemik Covid-19 berupaya menjadi krisis yang memacu penggunaan teknologi untuk membantu rakyat Malaysia melonjak keluar dari perangkap pendapatan sederhana dan bagi membentuk Malaysia sebagai negara berasaskan ekonomi digital.

Pilihan di tangan kita.

* Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Kewangan Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca