RUSIA didakwa menjalin hubungan dengan musuh lamanya iaitu Taliban dan menyokong inisiatif Amerika Syarikat (AS) serta mengesyorkan pergerakan tersebut menyertai penubuhan sebuah kerajaan sementara Afghanistan pada masa depan.
Hubungan antara Moscow dengan Taliban dikatakan bermula pada tahun 1995 selepas kejadian sebuah pesawat kargo milik Rusia dipaksa mendarat di Afghanistan.
Ia berlaku selepas wakil khas Moscow, Zamir Kabulov bertemu dengan pemimpin pergerakan politik dan tentera berfahaman Sunni itu, Mullah Mohammed Omar pada Ogos 1995 selepas sebuah pesawat pengangkut Rusia dipintas oleh sebuah jet pejuang MiG di Kandahar.
Dua buah jet MiG milik Taliban itu dilaporkan memintas pesawat pengangkut tersebut yang dikendalikan oleh sebuah syarikat penerbangan persendirian Rusia sebelum dipajak kepada sebuah syarikat dikatakan milik seorang penjual senjata dari negara itu.
Menurut portal The Aviation Geek Club, setelah pemeriksaan dilakukan, sebanyak 30 tan senjata dari Albania ditemui dan didakwa akan dihantar kepada Menteri Pertahanan Afghanistan ketika itu, Ahmad Shah Massoud.
Dalam kejadian itu, tujuh orang rakyat Rusia yang menaikinya telah ditangkap oleh anggota-anggota Taliban dan Kabulov kemudian dihantar bagi usaha membebaskan mereka tetapi beliau gagal dalam misinya.
Bagaimanapun, ketujuh-tujuh rakyat Rusia tersebut akhirnya berjaya melarikan diri selepas lebih setahun ditangkap apabila mereka berpura-pura melakukan kerja-kerja penyelenggaraan terhadap pesawat kargo IL-76 pada hari Jumaat dalam bulan Ogos 1996.
Kesemua mereka kemudian berjaya menerbangkan pesawat tersebut dari sebuah landasan terbang di Kandahar dan menuju ke sempadan Iran serta terbang pada altitud 100 meter dengan menutup alat bantuan paduan arah pada hari Jumaat bagi mengelak dikesan oleh Taliban sebelum mendarat di Sharjah, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Sehubungan itu, pertemuan kemudian diadakan melibatkan pemimpin pergerakan itu pada 1995, Mullah Akhtar Mansour dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin di Tajikistan bagi tujuan meningkatkan kerjasama bagi memerangi kumpulan Daesh selepas insiden penangkapan tujuh rakyat negara itu.
Namun, Taliban menafikan pertemuan itu pernah diadakan.
Setelah Mansour dibunuh dalam satu serangan dron AS di wilayah Baluchistan, Rusia meneruskan hubungannya dengan Taliban yang berada di bawah pemimpin Mullah Haibatullah Akhundzada yang kini ialah ketua pergerakan tersebut.
Sebelum ini, pergerakan tersebut yang bermakna pelajar dalam bahasa Pashto berjaya menggulingkan pemerintahan Presiden Burhanuddin Rabaani pada tahun 1996 iaitu salah seorang pengasas perjuangan mujahidin AS yang berjaya mengusir keluar Kesatuan Soviet dari bumi Afghanistan.
Taliban muncul pada tahun 1990-an ketika askar-askar Kesatuan Soviet berundur dari negara itu.
Kesatuan Soviet yang kini dikenali sebagai Rusia berundur dari Afghanistan selepas campur tangan dalam krisis politik di negara tersebut pada tahun 1979 apabila menyokong kerajaan komunis Afghanistan yang menentang pejuang-pejuang Islam.
Pergerakan tersebut pernah menguasai 90 peratus negara itu pada tahun 1998 dan melaksanakan sistem undang-undang Islam dengan ketat tetapi popular dalam kalangan rakyat kerana berjaya menghapuskan rasuah serta berasa selamat ketika melakukan urus niaga
Pergerakan itu akhirnya disingkirkan oleh AS pada 2001 yang pada masa itu mempunyai misi untuk menghancurkan kumpulan Al-Qaeda di negara tersebut.
Bekas Presiden AS ke-45, Donlad Trump sebelum ini mengumumkan akan mengundurkan semua tenteranya dari Afghanistan pada 1 Mei depan tetapi Presiden AS kini, Joe Biden masih memikirkan sama ada tindakan itu sesuai dilakukan dan adakah ia memberikan kesan terhadap kestabilan di rantau Asia Selatan.
Sebagai usaha untuk memperkukuhkan hubungan dengan Taliban, pada September 2016, seramai 70 askar Rusia dan 130 anggota unit khas Pakistan mengadakan latihan ketenteraan antikeganasan secara bersama di utara Pakistan.
Justeru, Rusia akan mengadakan persidangan damai di Moscow pada 18 Mac depan selepas persidangan sama di Doha, Qatar pada September tahun lepas antara Taliban dan kerajaan Afghanistan gagal mencapai persetujuan berhubung kedamaian.
Ketika itu tahap keganasan di Afghanistan masih tinggi apabila anggota-anggota Taliban dipersalahkan ketika banyak serangan maut berlaku di negara itu.
Justeru, persidangan keamanan mengenai keamanan negara itu diadakan di Moscow dengan Rusia dilaporkan menjemput China dan Pakistan sekali gus mendapat sokongan dari AS dan Iran setelah berlaku peningkatan pertempuran termasuk pembunuhan melibatkan kumpulan-kumpulan bersenjata termasuk Daesh.
Trump membuat perjanjian dengan Taliban pada Februari tahun lalu apabila menyatakan AS dan sekutu-sekutunya dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) akan meninggalkan Afghanistan jika pergerakan itu berjaya menghalang Al-Qaeda dan lain-lain kumpulan daripada melakukan serangan terhadap pasukan tentera antarabangsa.
Namun, sehingga kini kumpulan-kumpulan bersenjata masih bertempur dengan kerajaan Afghanistan dan melakukan satu siri serangan bom sejak perjanjian dibuat antara AS dengan Taliban.
Satu lagi persidangan mengenai keamanan di negara itu akan turut diadakan di Istanbul, Turki dan ditaja oleh AS pada April depan manakala portal berita The Diplomat melaporkan Washington dijemput untuk menghadiri persidangan keamanan mengenai Afghanistan di Rusia.
Bagaimanapun, menurut portal berita Tha Diplomat, Moscow dikatakan menunjukkan kepada pihak Barat bahawa Rusia boleh memainkan satu peranan termasuk menubuhkan sebuah lagi perikatan wilayah melibatkan negara-negara di Asia Selatan. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca