PADA tahun 2003, penulis diberikan peluang untuk bekerja selama dua tahun di Sekolah Tinggi Teknologi Informatika Komputer Meridian, Blok M, Jakarta Selatan, Indonesia.
Penulis yang berusia 25 tahun pada ketika itu dan menjadi eksekutif pemasaran bagi sebuah institusi pengajian tinggi swasta berasa amat bertuah kerana dapat merantau ke negara orang.
Jakarta merupakan sebuah kota pentadbiran dan perniagaan utama di Indonesia dengan jumlah penduduk seramai sembilan juta orang.
Di Jakarta Selatan sahaja, terdapat lebih dua juta penduduk yang menghidupkan kota itu siang dan malam.
Dengan jumlah penduduk yang begitu ramai, penulis menyaksikan rakyat Indonesia di semua peringkat kehidupan.
Penulis kagum dengan perjuangan mereka mencari rezeki di kota besar itu dengan melakukan pelbagai pekerjaan dan perniagaan. Kesusahan dan persaingan sengit dalam hidup menyebabkan mereka begitu kreatif untuk mencari wang.
Ramai yang menjadi ‘pengamen’ di jalanan menghiburkan orang ramai dengan bermain alat muzik sambil menyanyi atau menari dengan pakaian tradisional.
Ada juga yang berniaga makanan, minuman dan pelbagai barangan di persimpangan lampu isyarat.
Jakarta memang terkenal dengan kesesakan jalan raya sering disebut sebagai 'macet’. Ini memberi peluang besar untuk mereka menjalankan perniagaan di setiap persimpangan jalan di kota raya itu.Bagaimanapun, keadaan itu amat jarang kita lihat di Malaysia tetapi suasana yang pernah penulis alami itu sudah mula menular di negara ini.
Aktiviti berniaga di persimpangan lampu isyarat mula dilaporkan sejak tahun 2018 lagi, namun akhir-akhir ini ia dilihat semakin meningkat di seluruh negara.
Covid-19
Ia adalah kesan daripada pandemik Covid-19 yang telah menjangkiti jutaan nyawa di seluruh dunia dan menjejaskan aktiviti ekonomi sehingga ramai yang terpaksa diberhentikan kerja.
Pada Februari lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan pengangguran di Malaysia meningkat kepada 772,900 orang pada kadar 4.8 peratus pada Disember 2020.
Ini menimbulkan rasa simpati mengenangkan nasib rakyat yang diberhentikan kerja dan mengambil keputusan untuk mencari rezeki di jalanan dalam cuaca panas terik.
Lebih membimbangkan, mereka turut berhadapan risiko dilanggar kenderaan.
Jika mereka ini benar-benar dalam kesusahan dan berusaha untuk menyara kehidupan, maka sememangnya mereka ini dibantu. Tetapi kita juga harus akui bahawa terdapat kemungkinan wujud segelintir pihak yang mengambil kesempatan menangguk di air yang keruh mengaut keuntungan dengan berniaga di kawasan tersebut.
Kalau benarlah ada pihak yang sengaja menggunakan taktik perniagaan sedemikian, maka memang wajar pihak berkuasa mengambil tindakan yang sewajarnya.
Atas sebab itu, tindakan Polis Kelantan memberikan amaran untuk menyaman pembeli dan peniaga yang menjalankan aktiviti menjaja di lampu isyarat patut diberikan pujian.
Tindakan boleh diambil mengikut Akta Lalulintas Jalan Raya dan tindakan boleh dikenakan di bawah 10A (1) LN 166/59 Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya.
Mereka yang didapati melakukan perkara itu boleh dihadapkan ke mahkamah dan didenda sehingga RM2,000 jika disabitkan kesalahan.
Sehubungan itu, kita amat mengharapkan agar penguatkuasaan yang bakal dilakukan itu nanti dapat dilakukan dengan penuh bijaksana.
Jika terbukti, mereka yang melakukan kegiatan itu bukan kerana kesempitan hidup tetapi untuk keuntungan semata-mata maka wajar tindakan tegas perlu diambil.
Sebaliknya, andai individu terbabit berada dalam kesusahan dan melakukannya kerana terpaksa, maka wajar mana-mana pihak tampil untuk membantu dengan menyediakan lokasi perniagaan yang lebih selamat untuk rakyat berniaga.
Bagi pembeli pula, mereka sekadar bersimpati dengan penjual di persimpangan lampu isyarat tersebut dan membeli makanan yang dijual.
Harap pihak polis sekadar memberi amaran sudah mencukupi.
*Junhairi Alyasa ialah Penolong Pengarang Kandungan Berita Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca